hhkh
 
 
1.0    PENGENALAN 
Alvin Tofler (1989), dalam bukunya yang bertajuk The Third Wave berpendapat bahawa manusia kini berada dalam gelombang ketiga iaitu gelombang maklumat atau era maklumat.  Dalam era maklumat, jalinan di antara seorang manusia dengan manusia lain diperkukuhkan dan alat utama yang digunakan ialah teknologi maklumat.  Penekanan kepada teknologi maklumat di Malaysia jelas terpancar dalam Wawasan 2020.  Salah satu daripada cabaran Wawasan 2020 ialah membentuk sebuah masyarakat sains serta progresif, berdaya cipta dan berpandangan jauh ke hari muka, yakni sebuah masyarakat yang bukan sahaja memanfaatkan teknologi terkini tetapi turut menjadi penyumbang terhadap pembentukan peradaban sains dan teknologi pada masa hadapan. 

        Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC) merupakan salah satu daripada perkembangan mutakhir teknologi maklumat di Malaysia.  Ia telah menjadi satu agenda Malaysia untuk mencapai hasrat wawasan 2020 dan juga bersaing dalam ekonomi global.  Ekoran dari itu, undang-undang siber telah digubal dan dilaksanakan sebagai jaminan untuk syarikat MSC. 
Revolusi yang berterusan dalam teknologi maklumat telah mengubah komposisi guna tenaga dan pasaran buruh.  Dari semasa ke semasa, permintaan untuk pekerja teknologi maklumat semakin meningkat.  Oleh itu, pendidikan perlu memainkan peranan aktif dalam memenuhi permintaan yang semakin mendesak ini tanpa melupakan tunjangnya yang utama iaitu Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).  FPK mementingkan pendekatan bersepadu antara intelek, jasmani, rohani dan emosi supaya keluaran pendidikan adalah berkualiti. 

        Dasar-dasar yang diperkenalkan dan akta-akta yang digubal berkaitan dengan teknologi maklumat turut memberi implikasi terhadap sistem pendidikan.  Peranan guru beransur-ansur berubah daripada penyampai kepada pembimbing.  Dalam penulisan ini, akan dibincangkan tentang dasar dan akta berkaitan teknologi maklumat di Malaysia pada masa kini serta bagaimana perkembangan ini mempengaruhi sistem pendidikan negara. 
atas 

2.0    KONSEP TEKNOLOGI MAKLUMAT  
Secara umumnya, teknologi maklumat ialah suatu alat utama dalam era maklumat.  Alat ini digunakan untuk mencapai, menyimpan dan menyebar maklumat terutama maklumat berbentuk digital.  Teknologi maklumat merujuk kepada penggunaan pelbagai item dan keupayaan dalam penciptaan, penyimpanan dan penyebaran maklumat. British Advisory Council for Applied Research and Development (1980) menakrifkan teknologi maklumat sebagai suatu disiplin saintifik, teknologi dan kejuruteraan serta teknik pengurusan yang digunakan dalam pengendalian dan pemprosesan maklumat serta penggunaannya; komputer dan saling tindakan antara mesin dan manusia; dan hal yang berkaitan dengan sosial, ekonomi dan kebudayaan. Behan dan Holmes (1990) pula mentakrifkan teknologi maklumat adalah suatu istilah yang memerihalkan teknologi yang membolehkan kita untuk merekod, meyimpan, memproses, mendapat semula, menghantar dan menerima maklumat.  Menurut Martin dan rakan-rakan (1994)  pula, teknologi maklumat terdiri dari semua bentuk teknologi yang terlibat dalam pengumpulan, manipulasi, komunikasi, persembahan dan menggunakan data termasuk data yang ditransformasikan kepada maklumat.  

      Senn (1998) menyatakan bahawa teknologi maklumat mengandungi tiga komponen iaitu komputer, komunikasi dan tahu guna.  Gabungan ketiga-tiga komponen ini mencipta peluang kepada manusia dan organisasi untuk lebih produktif, berkesan dan berjaya secara umumnya.  Ketiga-tiga komponen ini tidak boleh terpisah.  Komputer dan rangkaian komputer tidak berguna jika tidak tahu digunakan.  Mengetahui bila hendak menggunakan komputer adalah sama penting dengan mengetahui bagaimana hendak menggunakannya dan sama penting juga ialah kebolehan berkomunikasi maklumat melalui komputer dan untuk menghubungkan manusia melalui teknologi maklumat.  Jadi, walaupun istilah teknologi maklumat telah diperluaskan kepada teknologi maklumat dan komunikasi atau Information and Communication Technology (ICT), takrifan Senn ini jelas telah merangkumkan komunikasi dalam teknologi maklumat.  Oleh itu, istilah teknologi maklumat (TM) adalah sudah memadai dan istilah teknologi maklumat dan komunikasi tidak perlu digunakan. 
atas 

3.0    KORIDOR RAYA MULTIMEDIA 
MSC, singkatan daripada Multimedia Super Corridor atau Koridor Raya Multimedia merupakan satu projek penting Kerajaan Malaysia yang bertujuan memesatkan pertumbuhan industri teknologi maklumat, telekomunikasi dan multimedia negara.  MSC adalah suatu kawasan seluas 15x50km yang merangkumi tiga projek raksasa iaitu dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di utara, Putrajaya dan Kuala Lumpur International Airport (KLIA) di selatan.  Dua buah bandar pintar dibina dalam kawasan MSC iaitu Siberjaya dan Putrajaya.  Siberjaya menempatkan industri multimedia dan Putrajaya menepatkan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.  Sebuah perbadanan telah ditubuhkan iaitu Perbadanan Pembangunan Multimedia (Multimedia Development Corporation - MDC) untuk mengawasi pembangunan MSC.

        Tujuh aplikasi utama (flagship) telah dikenalpasti di MSC yang boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu pembangunan multimedia dan persekitaran multimedia.  Tujuh aplikasi tersebut ialah :
i.  Sekolah Bestari
ii. Kad Pintar
iii. Kerajaan Elektronik
iv. Teleperubatan
v. Gugusan Penyelidikan dan Pembangunan
vi. Jaringan pembuatan sedunia
vii. Pusat pemasaran tanpa sempadan

Empat aplikasi yang pertama di bawah kategori pembangunan multimedia dan tiga aplikasi yang terakhir di bawah kategori persekitaran multimedia.  Untuk menarik syarikat beroperasi di MSC, kerajaan telah menyediakan Bil Jaminan (Bill of Guarantees).  Bil Jaminan ini menyediakan prasaran fizikal dan maklumat bertaraf dunia kepada syarikat yang mendapat status MSC, iaitu :
i. Menyediakan infrastruktur fizikal dan maklumat bertaraf dunia.
ii. Membenarkan tanpa sekatan pekerja tempatan dan luar.
iii. Memastikan kebebasan pemilikan dengan mengecualikan syarikat berstatus MSC daripada keperluan pemilikan tempatan.
iv. Memberikan syarikat MSC kebebasan untuk menyediakan modal daripada pinjaman tempatan dan dunia untuk infrastruktur MSC.
v. Menyediakan insentif kewangan yang menarik.
vi. Menjadi ketua serantau dan perlindungan Hakmilik Intelektual dan undang-undang siber.
vii. Memastikan tiada tapisan (censorship) Internet.
viii. Menyediakan tarik telekomunikasi yang bersaing sejagat.
ix. Memberi tender kontrak prasarana MSC utama kepada syarikat yang ingin menjadikan MSC sebagai hub serantau.
x. Menyediakan agensi berkuasa untuk bertindak sebagai pusat sehentian (one-stop supershop) untuk memastikan MSC memenuhi keperluan syarikat.

        MDC juga bertindak sebagai pusat sehentian untuk memenuhi jaminan kesepuluh ciri di atas terutama untuk mempercepatkan permohonan visa, lesen dan permit.  Prasarana komunikasi yang disediakan dalam MSC berkelajuan 2.5Gbps hingga 10Gbps. Selain itu, satu panel perundingan antarabangsa (International Advisory Panel - IAP) MSC juga telah ditubuhkan. 

        Syarikat juga boleh memohon status MSC dengan tiga syarat iaitu :
i. merupakan pembangun atau menggunakan secara menyeluruh (extensive) produk dan perkhidmatan multimedia.
ii. mengambil ramai pekerja pengetahuan.
iii. menyatakan bagaimana akan memindahkan teknologi atau menyumbang kepada pembangunan MSC dan ekonomi Malaysia.

Koridor Raya Multimedia telah berjaya mencapai kemajuan di luar dugaan. Sehingga kini, pencapaian sebenar telah melebihi matlamat asal dengan 730 syarikat berdaftar di mana sebanyak 53 bertaraf dunia (Mahathir Mohamad, 2002). Matlamat asal ialah pada tahun 2003, jumlah syarikat yang mendapat sijil MSC sebagai syarikat multimedia akan berjumlah 500 dengan 30 daripadanya bertaraf dunia. Beberapa syarikat gergasi telah berpindah dari Eropah dan Amerika untuk mengadakan pusat operasi mereka bagi seluruh dunia atau bagi Asia Timur di Cyberjaya.

    Status MSC juga telah diperluas kepada institusi pendidikan yang menawarkan kursus berkaitan keperluan tenaga manusia MSC walaupun beroperasi di luar MSC.  Sehingga pada pertengahan Ogos 2002, sebanyak 24 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) diiktiraf berstatus MSC (Najat Ahmad Marzuki, 2002).  Sebahagian besarnya merupakan IPTS iaitu 20 buah manakala IPTA hanya empat buah iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). 

        Bagaimanapun, MSC hanyalah syarat perlu untuk mencapai hasrat wawasan 2020, syarat cukup ialah Agenda Teknologi Maklumat Negara (National Information Technology Agenda, NITA).  NITA, MSC dan sasarannya serta program lain menyatakan bagaimana perlu mencapai wawasan 2020 tersebut.  NITA ialah suatu kerangka untuk pembangunan program teknologi maklumat di semua peringkat kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan.
atas
 
 

4.0    UNDANG-UNDANG SIBER
MSC tidak hanya suatu perkara yang semata-mata berkaitan dengan bangunan dan syarikat.  Antara jaminan yang diberikan untuk syarikat MSC adalah penggubalan dan pelaksanaan undang-undang siber.  Undang-undang ini bermatlamat melancarkan lagi penggunaan multimedia termasuk perlindungan harta intelek, kesahan tandatangan digital dan transaksi komputer, membanteras jenayah komputer, undang-undang pemusatan antara telekomunikasi, penyiaran dan komputer serta saluran yang lain-lainnya.  Bagi mencapai tujuan ini, Malaysia telahpun meminda undang-undang hakcipta, Akta Hakcipta 1987 menerusi Akta Hakcipta (Pindaan) 1997 dan juga menggubal Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Teleperubatan 1997, Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.
atas
 
 

4.1    Akta Hakcipta (Pindaan) 1997
Menerusi Akta Hakcipta (Pindaan) 1997, Malaysia telah mengubah undang-undang mengikut cadangan Persetiaan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (World Intellectual Property Organisation Treaty - WIPO Treaty) dan cuba untuk mengambil perhatian terhadap masalah khusus yang dicipta oleh perkembangan terkini seperti perkembangan internet di luar jangkaan.  Bagi tujuan menangkis permasalahan ini, Akta Hakcipta (Pindaan) 1997, mengakui tiga bentuk baru perlanggaran hakcipta di bawah Seksyen 41 Akta Hakcipta 1987.  Kesalahan tersebut adalah:
i. merosakkan atau menyebabkan kerosakan sebarang tindakan kesan teknologi yang digunakan oleh pencipta berkaitan dengan mempergunakan haknya dan perlanggaran akta tidak dibenarkan,
ii. memindahkan atau menggantikan sebarang hak elektronik maklumat pengurusan tanpa kebenaran; dan
iii. menyebarkan, bermaksud untuk menyebarkan atau menyampaikan kepada orang awam, tanpa kebenaran, bekerja atau menyalin kerja dari sudut yang mana hak elektronik pengurusan maklumat telah dipindahkan atau digantikan tanpa kebenaran.

        Kesalahan-kesalahan ini adalah diberi hukuman denda maksimum RM250,000.00 atau hukuman penjara bagi suatu tempoh maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan sebarang kesalahan berikutnya, hukuman denda maksimum RM500,000 atau hukuman penjara bagi suatu tempoh maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.  Adalah nyata bahawa kesalahan baru ini dipandang secara serius oleh undang-undang.
atas
 
 

4.2   Akta Jenayah Komputer 1997
Bagi mengukuhkan strategi larangan penyalahgunaan komputer, yang mana diperlukan bagi meneruskan kerja-kerja melibatkan MSC, Akta Jenayah Komputer 1997 telah digubal. Capaian tanpa kebenaran kepada harta, kerosakan harta, perbuatan mencuri, penyebaran bahan-bahan lucah dan tidak baik merupakan jenayah yang biasa berlaku.  Di bawah cara penggunaan yang baru, semua jenayah ini bukan hanya wujud, tetapi menjadi perlakuan yang tidak sepatutnya dengan impak yang lebih besar menerusi penggunaan komputer dan internet.

        Capaian tanpa kebenaran kepada bahan komputer menjadi kelaziman dan dengan peningkatan kepercayaan ke atas komputer, ia menjadi semakin serius.  Pada tahun 1995, United States General Account Office mendapati penggodam mengunakan internet untuk memecah masuk komputer United Sates Defence Department lebih dari 160,000 kali.  Laporan menyebut bahawa: 

"At minimum, these attacks are a multimillion dollar nuisance to Defence.  Atworst, they are serious threat to national security."

Selain dari menggodam,  jenayah komputer yang dibawa oleh internet adalah jenayah kad kredit, menyebarkan virus komputer, diguna oleh pedofil (paedophiles) dalam menghantar gambar dan "movie", dirahsiakan dari risikan pihak berkuasa, menyebarkan khabar angin dan lain-lain.

        Malaysia tidak terkecuali dengan jenayah-jenayah ini, tetapi kekerapan jenayah ini tidak tinggi.  Bagi mengekang ancaman ini pada peringkat awal, Malaysia telah menggubal Akta Jenayah Komputer 1997.  Akta ini digunakan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira kewarganegaraan seseorang. Kesalahan di bawah akta ini boleh berlaku di mana-mana sahaja tidak kira samada di dalam atau di luar Malaysia asalkan ia melibatkan komputer yang berada di Malaysia. 

        Ringkasan kesalahan dan denda terhadap kesalahan di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 seperti berikut:
 
Ringkasan Jenis Kesalahan Ringkasan Diskripsi Kesalahan Denda
Capaian tanpa kuasa kepada bahan komputer Membuat capaian mana-mana komputer tanpa diberi kuasa. Didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya
Capaian tanpa kuasa dengan niat untuk melakukan atau memudahkan berlakunya kesalahan lanjut Melibatkan fraud atau kecurangan atau yang menyebabkan kecederaan Didenda tidak melebihi RM 150,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya
Pengubahsuaian tanpa kuasa kandungan mana-mana komputer Pengubahsuaian tanpa kuasa kandungan mana-mana komputer Didenda tidak melebihi RM 100,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya; atau boleh didenda tidak melebihi RM 150,00.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya, jika perbuatan itu dilakukan dengan niat menyebabkan kecederaan
Komunikasi salah Berkomunikasi melalui mana-mana cara capaian kepada suatu komputer tanpa diberi kuasa Didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya
Pensubahatan dan Percubaan  Bersubahat dalam pelakuan atau cuba untuk melakukan mana-mana kesalahan

Perlakuan apa-apa perbuatan persediaan kepada atau bagi mencapai perlakuan mana-mana kesalahan
 

Dipenjara untuk tempoh tidak melebihi satu perdua tempoh maksimum yang diperuntukkan bagi kesalahan itu
Anggapan Menyimpan maklumat tanpa kuasa dalam komputer di bawah kawalan disifatkan telah memperoleh capaian tanpa kuasa (Sama seperti denda memperoleh capaian komputer tanpa kuasa)
atas
 
 

4.3   Akta Teleperubatan 1997
Teleperubatan telah diamalkan semasa berlangsungnya Kejohanan Sukan Komanwel 1998.  Dalam konteks Kejohanan Sukan Komanwel 1998, Pusat Penerangan dan Komunikasi Hospital Kuala Lumpur sebagai pusat bagi perkhidmatan perubatan dan teleperubatan bagi sukan tersebut, telah dihubungkan kepada pusat perubatan di Amerika Syarikat dan Britain. Rangkaian teleperubatan yang menghubungkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan pusat perubatan antarabangsa yang terbaik akan memberikan nasihat pakar ke atas diagnosis dan rawatan atlit-atlit dan pelawat-pelawat.  Ia juga membolehkan doktor di HKL dan Pusat Kesihatan Perkampungan di tempat kejohanan menghantar fail-fail pesakit atau dokumen yang berkaitan seperti X-ray dan imbasan ECG secara elektronik, dan membenarkan interaksi bersemuka antara doktor dan pesakit. Rangkaian teleperubatan yang diuruskan di Pusat Perubatan Pantai juga dihubungkan kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). 

        Kini elemen teleperubatan ini dapat dilihat di Hospital Elektronik Selayang.  Dalam bidang teleperubatan, khidmat doktor pakar yang berada di luar negara digunakan untuk membuat diagnosis terhadap pesakit yang berada di Malaysia. Hospital akan menggunakan teknologi maklumat yang canggih untuk berhubung antara hospital dirantau ini serta di seluruh dunia. Dengan itu, kepakaran doktor di seluruh dunia dapat dikongsi oleh doktor tempatan.

        Bagi membantu pembangunan TM dalam sektor kesihatan, Akta Teleperubatan telah digubal pada tahun 1997, antara lain menyediakan  peruntukan bagi peraturan dan kawalan ke atas amalan teleperubatan seperti kerahsiaan maklumat pesakit dan keperluan pengamal perubatan mendapatkan kebenaran daripada pesakit sebelum teleperubatan diamalkan.  Seksyen 2 dalam akta ini mendefinasikan "teleperubatan" sebagai "amalan perubatan dengan menggunakan komunikasi audio, visual dan data." 

Seksyen 3 Akta Teleperubatan 1997 menyatakan bahawa :
 

3. (1) Tiada seorang pun, selain -
(a)    pengamal perubatan penuh yang memegang suatu perakuan amalan yang sah; atau
(b)    pengamal perubatan yang didaftarkan atau dilesenkan di luar Malaysia dan - 
(i) memegang perakuan untuk mengamalkan teleperubatan yang dikeluarkan oleh Majlis; dan 
(ii) mengamalkan teleperubatan dari luar Malaysia melalui seorang pengamal perubatan berdaftar penuh yang memegang perakuan amalan yang sah,
boleh mengamalkan teleperubatan.

Seksyen 3 selanjutnya memperuntukan bahawa sesiapa yang mengamalkan teleperubatan dengan melanggar seksyen ini, walaupun dia mengamalkan teleperubatan dari luar Malaysia, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM 500,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
atas
 
 

4.4   Akta Tandatangan Digital 1997
Akta Tandatangan Digital 1997 bermatlamat membolehkan rakyat Malaysia mengambil perdagangan elektronik sebagai satu kaedah menjalankan perniagaan.  Akta ini tidak menggantikan undang-undang perdagangan dan keusahawanan yang sedia ada tetapi hanya melengkapkannya.  Semuanya adalah untuk menyamakan tandatangan digital ini dengan tandatangan yang dibentuk secara manual.  Pernyataan ini menjadi lebih jelas jika kita melihat pada seksyen 62 Akta Tandatangan Digital 1997.  Seksyen 62 adalah seperti berikut :
 

62.  (1) Jika  rukun  undang-undang  menghendaki tandatangan atau memperuntukkan akibat tertentu dalam ketiadaan tandatangan, rukun itu hendaklah dipuaskan oleh suatu tandatangan digital jika -  
(a) tandatangan  digital  itu  disahbetulkan dengan merujuk kepada kunci awam yang disenaraikan dalam perakuan sah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa pemerakuan berlesen; 
(b) tandatangan  digital  itu  telah  ditambah oleh penandatangan dengan niat untuk menandatangani mesej itu; dan 
(c) penerima tidak mempunyai pengetahuan atau notis bahawa penandatangan itu -
(i) telah melanggar kewajipan sebagai pelanggan; atau 
(ii) tidak  memegang  kunci persendirian yang digunakan untuk menambah tandatangan digital itu secara sah.
(2) Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis yang berlawanan - 
(a) suatu dokumen yang ditandatangani dengan tandatangan digital mengikut Akta ini hendaklah mengikat di sisi undang-undang seperti suatu dokumen yang ditandatangani dengan suatu tandatangan tulisan tangan, suatu cap ibu jari yang ditambah atau apa-apa tanda lain; dan 
(b) suatu  tandatangan digital yang dihasilkan mengikut Akta ini hendaklah disifatkan sebagai suatu tandatangan yang mengikat di sisi undang-undang.

        Kefahaman tentang bagaimana akta ini dipakai akan lebih jelas dengan melihat definasi yang diberikan dalam seksyen 2 di mana  "tandatangan digital" ertinya "penjelmaan sesuatu mesej dengan menggunakan suatu sistem kripto tak simetri dengan sedemikian yang seseorang yang mempunyai mesej awal itu dan kunci awam penandatangan boleh menentukan dengan tepat – 

(a) sama ada penjelmaan itu telah dihasilkan dengan menggunakan kunci persendirian yang berpadanan dengan kunci awam penandatangan itu; dan 
(b) sama ada mesej itu telah diubah sejak penjelmaan itu dibuat;

Beberapa kesalahan yang dibentuk di bawah Akta Tandatangan Digital 1997 adalah seperti berikut:
 
Kesalahan Hukuman
1. Beroperasi sebagai satu pihak berkuasa pemerakuan tanpa lesen yang sah Denda tidak melebihi RM 500,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.  Dalam kes kesalahan berterusan, denda harian tidak melebihi RM 500,0.00 bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan. (Seksyen 4) 
2. Pihak berkuasa pemerakuan tidak mengembalikan lesen kepada Pengawal setelah dibatalkan atau tamat tempoh Denda tidak melebihi RM 500,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.  Dalam kes kesalahan berterusan, denda harian tidak melebihi RM 500,0.00 bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakuka dan dan mahkamah hendaklah memegangsimpan lesen itu dan mengemukakannya kepada Pengawal (Seksyen 14)
3. Membuka rahsia maklumat yang diperolehi di bawah akta ini (Tanggungjawab Kerahsiaan) Denda tidak melebihi RM 100,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.  (Seksyen 72)
4. Menandatangani atau memberikan apa-apa perisytiharan, penyata, perakuan atau dokumen atau maklumat lain yang dikehendaki di bawah Akta ini yang tidak benar, tidak tepat atau mengelirukan. Denda tidak melebihi RM 500,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.  (Seksyen 73)
5. Melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini yang baginya tiada penalti diperuntukkan secara nyata Denda tidak melebihi RM 200,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 4 tahun atau kedua-duanya.  (Seksyen 83)
atas
 
 

4.4   Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Akta ini merupakan undang-undang siber yang terpanjang antara keenam-enam undang-undang siber yang digubal dalam negara setakat ini.  Ia mempunyai 282 seksyen dan satu jadual.  Secara tradisional, penyiaran, telekomunikasi dan pengkomputeran telah difikirkan secara terpisah.  Jika teknologi digital sekarang ditemukan bersama, ia akan menjadi tidak realistik untuk mengekalkan suatu pemisahan.  Jadi,  undang-undang ini telah digubal bagi menggantikan dua undang-undang sedia ada berkaitan telekomunikasi dan penyiaran, iaitu Akta Telekomunikasi 1950 dan Akta Penyiaran 1988.  Dengan tergazetnya akta ini, Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia telah ditubuhkan.

        Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membentuk satu rangkakerja bagi campurtangan secara teratur untuk menggalakkan dasar kebangsaan terhadap industri komunikasi dan multimedia.  Aktiviti-aktiviti dan perkhidmatan-perkhidmatan yang dikawal di bawah akta ini termasuklah penyiaran tradisional, telekomunikasi dan perkhidmatan atas talian, termasuk kemudahan dan rangkaian yang digunakan dalam memberikan perkhidmatan tersebut, serta kandungan yang dibekalkan menerusi kemudahan-kemudahan dan rangkaian tersebut.  Bagaimanapun, tiada peruntukan di dalam Akta ini yang membenarkan penapisan Internet.

Peserta utama dalam industri  yang akan dikawal di bawah akta ini adalah seperti berikut:
i. pemberi kemudahan rangkaian,
ii. pemberi perkhidmatan rangkaian,
iii. pemberi perkhidmatan aplikasi,
iv. pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan.

Bahagian VII Akta (seksyen 187 hingga seksyen 204) memperuntukan Perlindungan Pengguna.  Jadi, dakwaan yang secara umumnya dilabelkan bercanggah dengan  Akta Tandatangan Digital 1997 iaitu ia tidak mengambil perhatian terhadap kecenderungan pengguna, tidak dapat disandarkan akta ini.

Bahagian IX Akta (seksyen 205 hingga seksyen 213) memperuntukkan Pengawalseliaan Sosial.  Seksyen 211 bahagian ini menegaskan bahawa pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan, atau orang lain yang   menggunakan perkhidmatan aplikasi  kandungan, boleh memberikan kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.  Perlanggaran seksyen ini akan didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Dalam usaha mengekang penyebar khabar angin, satu peruntukan yang dapat digunakan secara jitu untuk menangkap penjual khabar angin yang menyebarkan khabar angin palsu menerusi internet didapati dalam seksyen 233 Akta Telekomunikasi dan Muktimedia 1998.  Seksyen 233 adalah seperti berikut :
 

233. (1) Seseorang yang -

(a)    dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau
        perkhidmatan aplikasi secara sedar -
        (i)    membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan 
        (ii)   memulakan penghantaran,
        apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu,
        mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau
        mengganggu orang lain; atau 

adalah melakukan suatu kesalahan.

(2) Seseorang yang secara sedar -
(a)    dengan menggunakan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi memberikan 
        apa-apa komunikasi lucah bagi maksud komersial kepada mana-mana orang; atau 

(b)    membenarkan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi di bawah kawalan orang
        itu untuk digunakan bagi suatu aktiviti yang diperihalkan dalam perenggan (a), 

adalah melakukan suatu kesalahan.

(3) Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM 1,000.00 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. 
atas
 

atas