Make your own free website on Tripod.com
|Muka Depan|  |Biodata|  |Senarai Kursus> GE6543> Tugasan 1
|Tugasan 1 |Tugasan 2|  |Tugasan 3|  |Tugasan 4|  |Tugasan 5|  |Tugasan 6|
GE6543
Teknologi Maklumat dalam Pendidikan
Tugasan 1 : Laporan Dasar Negara, Polisi dan Akta Berkaitan Teknologi Maklumat

FALSAFAH, AKTA DAN POLISI TEKNOLOGI MAKLUMAT DI MALAYSIA PADA MASA KINI SERTA IMPLIKASINYA TERHADAP SISTEM PENDIDIKAN NEGARA


KANDUNGAN
1.0 PENGENALAN
2.0 KONSEP TEKNOLOGI MAKLUMAT
3.0 KORIDOR RAYA MULTIMEDIA
4.0 UNDANG-UNDANG SIBER
4.1   Akta Hakcipta (Pindaan) 1997
4.2   Akta Jenayah Komputer 1997
4.3   Akta Teleperubatan 1997
4.4   Akta Tandatangan Digital 1997
4.5   Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
4.5   Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998
5.0 DASAR-DASAR BERKAITAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
6.0 IMPLIKASI DASAR DAN AKTA BERKAITAN TEKNOLOGI MAKLUMAT TERHADAP SISTEM PENDIDIKAN NEGARA
7.0 PENUTUP
RUJUKAN

1.0    PENGENALAN
Alvin Tofler (1989), dalam bukunya yang bertajuk The Third Wave berpendapat bahawa manusia kini berada dalam gelombang ketiga iaitu gelombang maklumat atau era maklumat.  Dalam era maklumat, jalinan di antara seorang manusia dengan manusia lain diperkukuhkan dan alat utama yang digunakan ialah teknologi maklumat.  Penekanan kepada teknologi maklumat di Malaysia jelas terpancar dalam Wawasan 2020.  Salah satu daripada cabaran Wawasan 2020 ialah membentuk sebuah masyarakat sains serta progresif, berdaya cipta dan berpandangan jauh ke hari muka, yakni sebuah masyarakat yang bukan sahaja memanfaatkan teknologi terkini tetapi turut menjadi penyumbang terhadap pembentukan peradaban sains dan teknologi pada masa hadapan.

        Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC) merupakan salah satu daripada perkembangan mutakhir teknologi maklumat di Malaysia.  Ia telah menjadi satu agenda Malaysia untuk mencapai hasrat wawasan 2020 dan juga bersaing dalam ekonomi global.  Ekoran dari itu, undang-undang siber telah digubal dan dilaksanakan sebagai jaminan untuk syarikat MSC.
Revolusi yang berterusan dalam teknologi maklumat telah mengubah komposisi guna tenaga dan pasaran buruh.  Dari semasa ke semasa, permintaan untuk pekerja teknologi maklumat semakin meningkat.  Oleh itu, pendidikan perlu memainkan peranan aktif dalam memenuhi permintaan yang semakin mendesak ini tanpa melupakan tunjangnya yang utama iaitu Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).  FPK mementingkan pendekatan bersepadu antara intelek, jasmani, rohani dan emosi supaya keluaran pendidikan adalah berkualiti.

        Dasar-dasar yang diperkenalkan dan akta-akta yang digubal berkaitan dengan teknologi maklumat turut memberi implikasi terhadap sistem pendidikan.  Peranan guru beransur-ansur berubah daripada penyampai kepada pembimbing.  Dalam penulisan ini, akan dibincangkan tentang dasar dan akta berkaitan teknologi maklumat di Malaysia pada masa kini serta bagaimana perkembangan ini mempengaruhi sistem pendidikan negara.
atas

2.0    KONSEP TEKNOLOGI MAKLUMAT 
Secara umumnya, teknologi maklumat ialah suatu alat utama dalam era maklumat.  Alat ini digunakan untuk mencapai, menyimpan dan menyebar maklumat terutama maklumat berbentuk digital.  Teknologi maklumat merujuk kepada penggunaan pelbagai item dan keupayaan dalam penciptaan, penyimpanan dan penyebaran maklumat. British Advisory Council for Applied Research and Development (1980) menakrifkan teknologi maklumat sebagai suatu disiplin saintifik, teknologi dan kejuruteraan serta teknik pengurusan yang digunakan dalam pengendalian dan pemprosesan maklumat serta penggunaannya; komputer dan saling tindakan antara mesin dan manusia; dan hal yang berkaitan dengan sosial, ekonomi dan kebudayaan. Behan dan Holmes (1990) pula mentakrifkan teknologi maklumat adalah suatu istilah yang memerihalkan teknologi yang membolehkan kita untuk merekod, meyimpan, memproses, mendapat semula, menghantar dan menerima maklumat.  Menurut Martin dan rakan-rakan (1994)  pula, teknologi maklumat terdiri dari semua bentuk teknologi yang terlibat dalam pengumpulan, manipulasi, komunikasi, persembahan dan menggunakan data termasuk data yang ditransformasikan kepada maklumat. 

      Senn (1998) menyatakan bahawa teknologi maklumat mengandungi tiga komponen iaitu komputer, komunikasi dan tahu guna.  Gabungan ketiga-tiga komponen ini mencipta peluang kepada manusia dan organisasi untuk lebih produktif, berkesan dan berjaya secara umumnya.  Ketiga-tiga komponen ini tidak boleh terpisah.  Komputer dan rangkaian komputer tidak berguna jika tidak tahu digunakan.  Mengetahui bila hendak menggunakan komputer adalah sama penting dengan mengetahui bagaimana hendak menggunakannya dan sama penting juga ialah kebolehan berkomunikasi maklumat melalui komputer dan untuk menghubungkan manusia melalui teknologi maklumat.  Jadi, walaupun istilah teknologi maklumat telah diperluaskan kepada teknologi maklumat dan komunikasi atau Information and Communication Technology (ICT), takrifan Senn ini jelas telah merangkumkan komunikasi dalam teknologi maklumat.  Oleh itu, istilah teknologi maklumat (TM) adalah sudah memadai dan istilah teknologi maklumat dan komunikasi tidak perlu digunakan.
atas

3.0    KORIDOR RAYA MULTIMEDIA
MSC, singkatan daripada Multimedia Super Corridor atau Koridor Raya Multimedia merupakan satu projek penting Kerajaan Malaysia yang bertujuan memesatkan pertumbuhan industri teknologi maklumat, telekomunikasi dan multimedia negara.  MSC adalah suatu kawasan seluas 15x50km yang merangkumi tiga projek raksasa iaitu dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di utara, Putrajaya dan Kuala Lumpur International Airport (KLIA) di selatan.  Dua buah bandar pintar dibina dalam kawasan MSC iaitu Siberjaya dan Putrajaya.  Siberjaya menempatkan industri multimedia dan Putrajaya menepatkan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.  Sebuah perbadanan telah ditubuhkan iaitu Perbadanan Pembangunan Multimedia (Multimedia Development Corporation - MDC) untuk mengawasi pembangunan MSC.

        Tujuh aplikasi utama (flagship) telah dikenalpasti di MSC yang boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu pembangunan multimedia dan persekitaran multimedia.  Tujuh aplikasi tersebut ialah :
i.  Sekolah Bestari
ii. Kad Pintar
iii. Kerajaan Elektronik
iv. Teleperubatan
v. Gugusan Penyelidikan dan Pembangunan
vi. Jaringan pembuatan sedunia
vii. Pusat pemasaran tanpa sempadan

Empat aplikasi yang pertama di bawah kategori pembangunan multimedia dan tiga aplikasi yang terakhir di bawah kategori persekitaran multimedia.  Untuk menarik syarikat beroperasi di MSC, kerajaan telah menyediakan Bil Jaminan (Bill of Guarantees).  Bil Jaminan ini menyediakan prasaran fizikal dan maklumat bertaraf dunia kepada syarikat yang mendapat status MSC, iaitu :
i. Menyediakan infrastruktur fizikal dan maklumat bertaraf dunia.
ii. Membenarkan tanpa sekatan pekerja tempatan dan luar.
iii. Memastikan kebebasan pemilikan dengan mengecualikan syarikat berstatus MSC daripada keperluan pemilikan tempatan.
iv. Memberikan syarikat MSC kebebasan untuk menyediakan modal daripada pinjaman tempatan dan dunia untuk infrastruktur MSC.
v. Menyediakan insentif kewangan yang menarik.
vi. Menjadi ketua serantau dan perlindungan Hakmilik Intelektual dan undang-undang siber.
vii. Memastikan tiada tapisan (censorship) Internet.
viii. Menyediakan tarik telekomunikasi yang bersaing sejagat.
ix. Memberi tender kontrak prasarana MSC utama kepada syarikat yang ingin menjadikan MSC sebagai hub serantau.
x. Menyediakan agensi berkuasa untuk bertindak sebagai pusat sehentian (one-stop supershop) untuk memastikan MSC memenuhi keperluan syarikat.

        MDC juga bertindak sebagai pusat sehentian untuk memenuhi jaminan kesepuluh ciri di atas terutama untuk mempercepatkan permohonan visa, lesen dan permit.  Prasarana komunikasi yang disediakan dalam MSC berkelajuan 2.5Gbps hingga 10Gbps. Selain itu, satu panel perundingan antarabangsa (International Advisory Panel - IAP) MSC juga telah ditubuhkan. 

        Syarikat juga boleh memohon status MSC dengan tiga syarat iaitu :
i. merupakan pembangun atau menggunakan secara menyeluruh (extensive) produk dan perkhidmatan multimedia.
ii. mengambil ramai pekerja pengetahuan.
iii. menyatakan bagaimana akan memindahkan teknologi atau menyumbang kepada pembangunan MSC dan ekonomi Malaysia.

Koridor Raya Multimedia telah berjaya mencapai kemajuan di luar dugaan. Sehingga kini, pencapaian sebenar telah melebihi matlamat asal dengan 730 syarikat berdaftar di mana sebanyak 53 bertaraf dunia (Mahathir Mohamad, 2002). Matlamat asal ialah pada tahun 2003, jumlah syarikat yang mendapat sijil MSC sebagai syarikat multimedia akan berjumlah 500 dengan 30 daripadanya bertaraf dunia. Beberapa syarikat gergasi telah berpindah dari Eropah dan Amerika untuk mengadakan pusat operasi mereka bagi seluruh dunia atau bagi Asia Timur di Cyberjaya.

    Status MSC juga telah diperluas kepada institusi pendidikan yang menawarkan kursus berkaitan keperluan tenaga manusia MSC walaupun beroperasi di luar MSC.  Sehingga pada pertengahan Ogos 2002, sebanyak 24 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) diiktiraf berstatus MSC (Najat Ahmad Marzuki, 2002).  Sebahagian besarnya merupakan IPTS iaitu 20 buah manakala IPTA hanya empat buah iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). 

        Bagaimanapun, MSC hanyalah syarat perlu untuk mencapai hasrat wawasan 2020, syarat cukup ialah Agenda Teknologi Maklumat Negara (National Information Technology Agenda, NITA).  NITA, MSC dan sasarannya serta program lain menyatakan bagaimana perlu mencapai wawasan 2020 tersebut.  NITA ialah suatu kerangka untuk pembangunan program teknologi maklumat di semua peringkat kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan.
atas

4.0    UNDANG-UNDANG SIBER
MSC tidak hanya suatu perkara yang semata-mata berkaitan dengan bangunan dan syarikat.  Antara jaminan yang diberikan untuk syarikat MSC adalah penggubalan dan pelaksanaan undang-undang siber.  Undang-undang ini bermatlamat melancarkan lagi penggunaan multimedia termasuk perlindungan harta intelek, kesahan tandatangan digital dan transaksi komputer, membanteras jenayah komputer, undang-undang pemusatan antara telekomunikasi, penyiaran dan komputer serta saluran yang lain-lainnya.  Bagi mencapai tujuan ini, Malaysia telahpun meminda undang-undang hakcipta, Akta Hakcipta 1987 menerusi Akta Hakcipta (Pindaan) 1997 dan juga menggubal Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Teleperubatan 1997, Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.
atas

4.1    Akta Hakcipta (Pindaan) 1997
Menerusi Akta Hakcipta (Pindaan) 1997, Malaysia telah mengubah undang-undang mengikut cadangan Persetiaan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (World Intellectual Property Organisation Treaty - WIPO Treaty) dan cuba untuk mengambil perhatian terhadap masalah khusus yang dicipta oleh perkembangan terkini seperti perkembangan internet di luar jangkaan.  Bagi tujuan menangkis permasalahan ini, Akta Hakcipta (Pindaan) 1997, mengakui tiga bentuk baru perlanggaran hakcipta di bawah Seksyen 41 Akta Hakcipta 1987.  Kesalahan tersebut adalah:
i. merosakkan atau menyebabkan kerosakan sebarang tindakan kesan teknologi yang digunakan oleh pencipta berkaitan dengan mempergunakan haknya dan perlanggaran akta tidak dibenarkan,
ii. memindahkan atau menggantikan sebarang hak elektronik maklumat pengurusan tanpa kebenaran; dan
iii. menyebarkan, bermaksud untuk menyebarkan atau menyampaikan kepada orang awam, tanpa kebenaran, bekerja atau menyalin kerja dari sudut yang mana hak elektronik pengurusan maklumat telah dipindahkan atau digantikan tanpa kebenaran.

        Kesalahan-kesalahan ini adalah diberi hukuman denda maksimum RM250,000.00 atau hukuman penjara bagi suatu tempoh maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan sebarang kesalahan berikutnya, hukuman denda maksimum RM500,000 atau hukuman penjara bagi suatu tempoh maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.  Adalah nyata bahawa kesalahan baru ini dipandang secara serius oleh undang-undang.
atas

4.2   Akta Jenayah Komputer 1997
Bagi mengukuhkan strategi larangan penyalahgunaan komputer, yang mana diperlukan bagi meneruskan kerja-kerja melibatkan MSC, Akta Jenayah Komputer 1997 telah digubal. Capaian tanpa kebenaran kepada harta, kerosakan harta, perbuatan mencuri, penyebaran bahan-bahan lucah dan tidak baik merupakan jenayah yang biasa berlaku.  Di bawah cara penggunaan yang baru, semua jenayah ini bukan hanya wujud, tetapi menjadi perlakuan yang tidak sepatutnya dengan impak yang lebih besar menerusi penggunaan komputer dan internet.

        Capaian tanpa kebenaran kepada bahan komputer menjadi kelaziman dan dengan peningkatan kepercayaan ke atas komputer, ia menjadi semakin serius.  Pada tahun 1995, United States General Account Office mendapati penggodam mengunakan internet untuk memecah masuk komputer United Sates Defence Department lebih dari 160,000 kali.  Laporan menyebut bahawa: 

"At minimum, these attacks are a multimillion dollar nuisance to Defence.  Atworst, they are serious threat to national security."

Selain dari menggodam,  jenayah komputer yang dibawa oleh internet adalah jenayah kad kredit, menyebarkan virus komputer, diguna oleh pedofil (paedophiles) dalam menghantar gambar dan "movie", dirahsiakan dari risikan pihak berkuasa, menyebarkan khabar angin dan lain-lain.

        Malaysia tidak terkecuali dengan jenayah-jenayah ini, tetapi kekerapan jenayah ini tidak tinggi.  Bagi mengekang ancaman ini pada peringkat awal, Malaysia telah menggubal Akta Jenayah Komputer 1997.  Akta ini digunakan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira kewarganegaraan seseorang. Kesalahan di bawah akta ini boleh berlaku di mana-mana sahaja tidak kira samada di dalam atau di luar Malaysia asalkan ia melibatkan komputer yang berada di Malaysia. 

        Ringkasan kesalahan dan denda terhadap kesalahan di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 seperti berikut:
 
Ringkasan Jenis Kesalahan Ringkasan Diskripsi Kesalahan Denda
Capaian tanpa kuasa kepada bahan komputer Membuat capaian mana-mana komputer tanpa diberi kuasa. Didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya
Capaian tanpa kuasa dengan niat untuk melakukan atau memudahkan berlakunya kesalahan lanjut Melibatkan fraud atau kecurangan atau yang menyebabkan kecederaan Didenda tidak melebihi RM 150,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya
Pengubahsuaian tanpa kuasa kandungan mana-mana komputer Pengubahsuaian tanpa kuasa kandungan mana-mana komputer Didenda tidak melebihi RM 100,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya; atau boleh didenda tidak melebihi RM 150,00.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya, jika perbuatan itu dilakukan dengan niat menyebabkan kecederaan
Komunikasi salah Berkomunikasi melalui mana-mana cara capaian kepada suatu komputer tanpa diberi kuasa Didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya
Pensubahatan dan Percubaan  Bersubahat dalam pelakuan atau cuba untuk melakukan mana-mana kesalahan

Perlakuan apa-apa perbuatan persediaan kepada atau bagi mencapai perlakuan mana-mana kesalahan
 

Dipenjara untuk tempoh tidak melebihi satu perdua tempoh maksimum yang diperuntukkan bagi kesalahan itu
Anggapan Menyimpan maklumat tanpa kuasa dalam komputer di bawah kawalan disifatkan telah memperoleh capaian tanpa kuasa (Sama seperti denda memperoleh capaian komputer tanpa kuasa)
atas

4.3   Akta Teleperubatan 1997
Teleperubatan telah diamalkan semasa berlangsungnya Kejohanan Sukan Komanwel 1998.  Dalam konteks Kejohanan Sukan Komanwel 1998, Pusat Penerangan dan Komunikasi Hospital Kuala Lumpur sebagai pusat bagi perkhidmatan perubatan dan teleperubatan bagi sukan tersebut, telah dihubungkan kepada pusat perubatan di Amerika Syarikat dan Britain. Rangkaian teleperubatan yang menghubungkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan pusat perubatan antarabangsa yang terbaik akan memberikan nasihat pakar ke atas diagnosis dan rawatan atlit-atlit dan pelawat-pelawat.  Ia juga membolehkan doktor di HKL dan Pusat Kesihatan Perkampungan di tempat kejohanan menghantar fail-fail pesakit atau dokumen yang berkaitan seperti X-ray dan imbasan ECG secara elektronik, dan membenarkan interaksi bersemuka antara doktor dan pesakit. Rangkaian teleperubatan yang diuruskan di Pusat Perubatan Pantai juga dihubungkan kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). 

        Kini elemen teleperubatan ini dapat dilihat di Hospital Elektronik Selayang.  Dalam bidang teleperubatan, khidmat doktor pakar yang berada di luar negara digunakan untuk membuat diagnosis terhadap pesakit yang berada di Malaysia. Hospital akan menggunakan teknologi maklumat yang canggih untuk berhubung antara hospital dirantau ini serta di seluruh dunia. Dengan itu, kepakaran doktor di seluruh dunia dapat dikongsi oleh doktor tempatan.

        Bagi membantu pembangunan TM dalam sektor kesihatan, Akta Teleperubatan telah digubal pada tahun 1997, antara lain menyediakan  peruntukan bagi peraturan dan kawalan ke atas amalan teleperubatan seperti kerahsiaan maklumat pesakit dan keperluan pengamal perubatan mendapatkan kebenaran daripada pesakit sebelum teleperubatan diamalkan.  Seksyen 2 dalam akta ini mendefinasikan "teleperubatan" sebagai "amalan perubatan dengan menggunakan komunikasi audio, visual dan data." 

Seksyen 3 Akta Teleperubatan 1997 menyatakan bahawa :
 

3. (1) Tiada seorang pun, selain -
(a)    pengamal perubatan penuh yang memegang suatu perakuan amalan yang sah; atau
(b)    pengamal perubatan yang didaftarkan atau dilesenkan di luar Malaysia dan - 
(i) memegang perakuan untuk mengamalkan teleperubatan yang dikeluarkan oleh Majlis; dan 
(ii) mengamalkan teleperubatan dari luar Malaysia melalui seorang pengamal perubatan berdaftar penuh yang memegang perakuan amalan yang sah,
boleh mengamalkan teleperubatan.

Seksyen 3 selanjutnya memperuntukan bahawa sesiapa yang mengamalkan teleperubatan dengan melanggar seksyen ini, walaupun dia mengamalkan teleperubatan dari luar Malaysia, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM 500,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
atas

4.4   Akta Tandatangan Digital 1997
Akta Tandatangan Digital 1997 bermatlamat membolehkan rakyat Malaysia mengambil perdagangan elektronik sebagai satu kaedah menjalankan perniagaan.  Akta ini tidak menggantikan undang-undang perdagangan dan keusahawanan yang sedia ada tetapi hanya melengkapkannya.  Semuanya adalah untuk menyamakan tandatangan digital ini dengan tandatangan yang dibentuk secara manual.  Pernyataan ini menjadi lebih jelas jika kita melihat pada seksyen 62 Akta Tandatangan Digital 1997.  Seksyen 62 adalah seperti berikut :
 

62.  (1) Jika  rukun  undang-undang  menghendaki tandatangan atau memperuntukkan akibat tertentu dalam ketiadaan tandatangan, rukun itu hendaklah dipuaskan oleh suatu tandatangan digital jika -  
(a) tandatangan  digital  itu  disahbetulkan dengan merujuk kepada kunci awam yang disenaraikan dalam perakuan sah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa pemerakuan berlesen; 
(b) tandatangan  digital  itu  telah  ditambah oleh penandatangan dengan niat untuk menandatangani mesej itu; dan 
(c) penerima tidak mempunyai pengetahuan atau notis bahawa penandatangan itu -
(i) telah melanggar kewajipan sebagai pelanggan; atau 
(ii) tidak  memegang  kunci persendirian yang digunakan untuk menambah tandatangan digital itu secara sah.
(2) Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis yang berlawanan - 
(a) suatu dokumen yang ditandatangani dengan tandatangan digital mengikut Akta ini hendaklah mengikat di sisi undang-undang seperti suatu dokumen yang ditandatangani dengan suatu tandatangan tulisan tangan, suatu cap ibu jari yang ditambah atau apa-apa tanda lain; dan 
(b) suatu  tandatangan digital yang dihasilkan mengikut Akta ini hendaklah disifatkan sebagai suatu tandatangan yang mengikat di sisi undang-undang.

        Kefahaman tentang bagaimana akta ini dipakai akan lebih jelas dengan melihat definasi yang diberikan dalam seksyen 2 di mana  "tandatangan digital" ertinya "penjelmaan sesuatu mesej dengan menggunakan suatu sistem kripto tak simetri dengan sedemikian yang seseorang yang mempunyai mesej awal itu dan kunci awam penandatangan boleh menentukan dengan tepat  

(a) sama ada penjelmaan itu telah dihasilkan dengan menggunakan kunci persendirian yang berpadanan dengan kunci awam penandatangan itu; dan 
(b) sama ada mesej itu telah diubah sejak penjelmaan itu dibuat;

Beberapa kesalahan yang dibentuk di bawah Akta Tandatangan Digital 1997 adalah seperti berikut:
 
Kesalahan Hukuman
1. Beroperasi sebagai satu pihak berkuasa pemerakuan tanpa lesen yang sah Denda tidak melebihi RM 500,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.  Dalam kes kesalahan berterusan, denda harian tidak melebihi RM 500,0.00 bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan. (Seksyen 4) 
2. Pihak berkuasa pemerakuan tidak mengembalikan lesen kepada Pengawal setelah dibatalkan atau tamat tempoh Denda tidak melebihi RM 500,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.  Dalam kes kesalahan berterusan, denda harian tidak melebihi RM 500,0.00 bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakuka dan dan mahkamah hendaklah memegangsimpan lesen itu dan mengemukakannya kepada Pengawal (Seksyen 14)
3. Membuka rahsia maklumat yang diperolehi di bawah akta ini (Tanggungjawab Kerahsiaan) Denda tidak melebihi RM 100,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.  (Seksyen 72)
4. Menandatangani atau memberikan apa-apa perisytiharan, penyata, perakuan atau dokumen atau maklumat lain yang dikehendaki di bawah Akta ini yang tidak benar, tidak tepat atau mengelirukan. Denda tidak melebihi RM 500,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.  (Seksyen 73)
5. Melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini yang baginya tiada penalti diperuntukkan secara nyata Denda tidak melebihi RM 200,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 4 tahun atau kedua-duanya.  (Seksyen 83)
atas

4.4   Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Akta ini merupakan undang-undang siber yang terpanjang antara keenam-enam undang-undang siber yang digubal dalam negara setakat ini.  Ia mempunyai 282 seksyen dan satu jadual.  Secara tradisional, penyiaran, telekomunikasi dan pengkomputeran telah difikirkan secara terpisah.  Jika teknologi digital sekarang ditemukan bersama, ia akan menjadi tidak realistik untuk mengekalkan suatu pemisahan.  Jadi,  undang-undang ini telah digubal bagi menggantikan dua undang-undang sedia ada berkaitan telekomunikasi dan penyiaran, iaitu Akta Telekomunikasi 1950 dan Akta Penyiaran 1988.  Dengan tergazetnya akta ini, Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia telah ditubuhkan.

        Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membentuk satu rangkakerja bagi campurtangan secara teratur untuk menggalakkan dasar kebangsaan terhadap industri komunikasi dan multimedia.  Aktiviti-aktiviti dan perkhidmatan-perkhidmatan yang dikawal di bawah akta ini termasuklah penyiaran tradisional, telekomunikasi dan perkhidmatan atas talian, termasuk kemudahan dan rangkaian yang digunakan dalam memberikan perkhidmatan tersebut, serta kandungan yang dibekalkan menerusi kemudahan-kemudahan dan rangkaian tersebut.  Bagaimanapun, tiada peruntukan di dalam Akta ini yang membenarkan penapisan Internet.

Peserta utama dalam industri  yang akan dikawal di bawah akta ini adalah seperti berikut:
i. pemberi kemudahan rangkaian,
ii. pemberi perkhidmatan rangkaian,
iii. pemberi perkhidmatan aplikasi,
iv. pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan.

Bahagian VII Akta (seksyen 187 hingga seksyen 204) memperuntukan Perlindungan Pengguna.  Jadi, dakwaan yang secara umumnya dilabelkan bercanggah dengan  Akta Tandatangan Digital 1997 iaitu ia tidak mengambil perhatian terhadap kecenderungan pengguna, tidak dapat disandarkan akta ini.

Bahagian IX Akta (seksyen 205 hingga seksyen 213) memperuntukkan Pengawalseliaan Sosial.  Seksyen 211 bahagian ini menegaskan bahawa pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan, atau orang lain yang   menggunakan perkhidmatan aplikasi  kandungan, boleh memberikan kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.  Perlanggaran seksyen ini akan didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Dalam usaha mengekang penyebar khabar angin, satu peruntukan yang dapat digunakan secara jitu untuk menangkap penjual khabar angin yang menyebarkan khabar angin palsu menerusi internet didapati dalam seksyen 233 Akta Telekomunikasi dan Muktimedia 1998.  Seksyen 233 adalah seperti berikut :

233. (1) Seseorang yang -

(a)    dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau
        perkhidmatan aplikasi secara sedar -
        (i)    membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan 
        (ii)    memulakan penghantaran, 
        apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu,
        mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau
        mengganggu orang lain; atau 

(b)    memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada
        secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau
        tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk
        menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang di mana-mana
        nombor atau alamat elektronik, 

adalah melakukan suatu kesalahan.
 

(2) Seseorang yang secara sedar -

(a)    dengan menggunakan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi memberikan
        apa-apa komunikasi lucah bagi maksud komersial kepada mana-mana orang; atau 

(b)    membenarkan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi di bawah kawalan orang
        itu untuk digunakan bagi suatu aktiviti yang diperihalkan dalam perenggan (a), 

adalah melakukan suatu kesalahan.

(3) Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM 1,000.00 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. 
atas

4.5   Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998
Undang-undang ini melengkapkan kedudukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sebagai satu badan korporat.  Ia merupakan badan utama, suatu kenyataan yang boleh didapati di mana-mana dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.  Di bawah seksyen 16 Akta ini, Suruhanjaya harus mempunyai segala fungsi yang dipertanggungjawab ke atasnya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan tanpa menjejaskan keluasan yang disebut terdahulu, Suruhanjaya hendaklah juga mempunyai fungsi-fungsi yang berikut:
a) menasihati Menteri tentang perkara-perkara berkenaan dengan objektif dasar kebangsaan bagi aktiviti-aktiviti komunikasi dan multimedia;
b) melaksanakan dan menguatkan peruntukan-peruntukan undang-undang komunikasi dan multimedia;
c) mengawal selia segala perkara yang berhubungan dengan aktiviti-aktiviti komunikasi dan multimedia yang tidak diperuntukan dalam undang-undang komunikasi dan multimedia;
d) menimbangkan dan mengesyorkan reformasi-reformasi kepada undang-undang komunikasi dan multimedia;
e) mengawasi dan memantau aktiviti-aktiviti komunikasi dan multimedia;
f) menggalakkan dan meningkatkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia termasuk dalam bidang penyelidikan dan latihan;
g) menggalakkan dan meningkatkan pengawalan sendiri dalam industri komunikasi dan multimedia;
h) memupuk dan mengekalkan kewibawaan semua orang yang dilesenkan atau selainnya di beri kuasa di bawah undang-undang komunikasi dan multimedia;
i) memberikan bantuan dalam apa-apa bentuk kepada dan untuk menggalakkan kerjasama dan penyelarasan di kalangan, orang yang terlibat  dalam aktiviti-aktiviti komunikasi dan multimedia; dan
j) menjalankan apa-apa fungsi di bawah mana-mana undang-undang bertulis sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan yang disiarkan dalam Warta.
atas

5.0    DASAR-DASAR BERKAITAN TEKNOLOGI MAKLUMAT 
Teknologi maklumat didapati telah digunakan dengan meluas sepanjang tempoh RMKe-7 di mana bilangan komputer peribadi bagi setiap 1000 penduduk telah meningkat daripada 29.5 pada tahun 1995 kepada 95.7 pada tahun 2000.  Begitu juga dengan penggunaan internet, di mana bilangan pelanggan Internet meningkat daripada 13,000 pada tahun 1995 kepada 1.2 juta pada tahun 2000 dengan kadar pertumbuhan 145.2% setahun.

        Teknologi maklumat mempunyai peranan yang strategik dalam mempercepatkan proses pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan kecekapan dan produktiviti semua sektor dalam ekonomi (Kerajaan Malaysia, 2001).  Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8) sebanyak RM5.2 bilion diperuntukan bagi program dan projek berasaskan teknologi maklumat.  Dalam tempoh ini, tumpuan akan diberi untuk terus memperkukuhkan keupayaan sumber manusia, infrastruktur berkaitan perkakasan dan perisian serta mewujudkan kumpulan kritikal perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pengguna internet bagi membolehkan Malaysia bergerak dengan pantas menjadi negara maju yang mempunyai masyarakat yang berpengetahuan.  Bagi tujuan ini, teras strategik untuk pembangunan teknologi maklumat dalam RMKe-8 meliputi :
 
i. menjadikan Malaysia sebagai hub ICT dan multmedia di peringkat global;
ICT akan digunakan sebagai penggerak penting dalam mendorong syarikat Malaysia bersaing di peringkat global dengan melaksanakan kerangka dasar baru bagi sektor ICT dan multimedia yang berasaskan kepada perubahan pesat. Bagi memudahkan memasuki pasaran di samping mewujudkan persekitaran yang berdaya saing langkah-langkah yang diambil termasuklah melaksanakan dasar pelesenan yang jelas, ringkas dan praktikal serta meminimumkan keperluan pelesenan untuk perkhidmatan baru; membina pusat penyelidikan dan meneraju forum antarabangsa.
ii. menaik taraf dan menambahkan infrastruktur komunikasi untk meningkatkan kebolehcapaian di seluruh negara;
Jurang digital antara golongan kaya dan miskin, kawasan bandar dan luar bandar serta antara sektor ekonomi akan ditangani menerusi peningkatan keupayaan penghantaran, perluasan infrastruktur dan latihan ICT.
iii. meningkatkan pembangunan sumber manusia dalam bidang ICT bagi menambah bekalan tenaga manusia yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan;
Usaha akan dijalankan untuk memperbaiki dan memperluaskan pendidikan ICT melalui pembekalan perkakasan dan perisian komputer serta capaian internet ke sekolah-sekolah; memperkenalkan lebih banyak kursus ICT di IPTA dan IPTS serta latihan semula untuk pekerja.  Kod etika berkaitan dengan penggunan internet akan diperkenalkan di peringkat sekolah sebagai usaha menangani pengaruh negatif internet.
iv. menggalakkan e-dagang dan meningkatkan penggunaannya bagi membolehkan Malaysia bersaing dengan lebih berkesan dalam pasaran global;
Mewujudkan kestabilan dan persekitaran yang sesuai dengan memberi perhatian terhadap penguatkuasaan yang berkesan bagi pelbagai undang-undang dan mekanisme yang telah diwujudkan serta membina kepercayaan dan keyakinan dalam e-dagang dengan memperkenalkan undang-undang berkaitan berkaitan kawalan peribadi bagi menjamin kerahsiaan.  Dalam meningkatkan pembangunan e-dagang, infrastruktur dan sokongan akan turut disediakan di samping kajian kemungkinan yang lebih terperinci.
v. memupuk keupayaan tempatan dalam mencipta pembangunan kandungan;
Bagi meningkatkan penyertaan dalam pasaran, persekitaran undang-undang yang kondusif untuk pembangunan kandungan diwujudkan di samping penyediaan bantuan kewangan.  Pembangunan kemahiran akan diberi penekanan melalui peningkatan keupayaan mengeluarkan graduan yang berkelayakan serta memperkenalkan program khas yang melibatkan sektor swasta bagi meningkatkan latihan dalam pembangunan perisian. 
vi. meluaskan pelaksanaan aplikasi perdana MSC bagi meningkatkan lagi momentum pembangunan MSC;
Merupakan strategi mengatasi masalah jurang digital.  Aplikasi sekolah bestari akan diperluaskan ke sekolah menengah dan rendah, telekesihatan akan dilaksanakan di pusat penjagaan dan klinik desa.  Tumpuan akan diberi terhadap usaha menarik minat pencipta teknologi terkini menyertai pembangunan MSC dan menggalakkan pemindahan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan (P&P).
vii. memupuk pembentukan kumpulan kritikal PKS yang berasaskan ICT; dan
Inisiatif yang dilaksanakan termasuklah menjadikan syarikat Malaysia yang berjaya sebagai model kepada syarikat PKS, membantu syarikat PKS dalam pemasaran dan menembusi pasaran antarabangsa serta menaikkan taraf pusat inkubator MSC untuk membantu usahawan teknologi.  Syarikat PKS digalak menggunakan aplikasi e-dagang.
viii. menggalakkan kegiatan penyelidikan dan pembangunan ke atas faktor bukan perkakasan bagi kemajuan ICT dan Era Maklumat yang akan memberi manfaat kepada individu, pertubuhan dan masyarakat.
Usaha memantau dan menilai kesan ICT kepada sektor awam, swasta dan rumahtangga; langganan dan profil penggunaan internet; perubahan budaya kerja; pengukuran pembangunan pengetahuan serta pembentukan masyarakat bermaklumat dan berpengetahuan; dan penjajaran semula kod klasifikasi industri, produk dan pekerjaan supaya selaras dengan pengertian sektor maklumat.
atas

6.0   IMPLIKASI DASAR DAN AKTA BERKAITAN TEKNOLOGI MAKLUMAT TERHADAP SISTEM PENDIDIKAN NEGARA
Sistem pendidikan di Malaysia adalah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).  FPK yang telah disuratkan pada tahun 1987 adalah berbunyi seperti berikut :
 

Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.  Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Berdasarkan kepada pernyataan FPK ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi penekanan khusus iaitu :
i. Pendidikan sebagai suatu usaha yang berterusan
Potensi yang ada pada diri individu hendaklah dikembangkan ke peringkat optimum dengan cara mengintegrasikan bakat dan kebolehannya yang saling berkaitan antara satu sama lain kerana manusia dianugerahkan Tuhan dengan  bakat, keupayaan dan potensi sejak lahir lagi.  Pendidikanlah yang memainkan peranan penting dalam memperkembangkan potensi individu. Semua potensi yang ada perlu dikembangkan dengan berpaksikan ketuhanan bagi menjamin pembentukan sahsiah yang bersepadu. Jadi, semua potensi ini  hendaklah disalurkan ke arah penyuburan dan pemantapan akidah melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang terancang.
ii. Insan yang seimbang dan harmonis
Merupakan insan yang memiliki dan menghayati ilmu pengetahuan, berakhlak mulia, mempunyai kepercayaan dan keyakinan yang teguh kepada Tuhan, mempunyai fikiran dan jiwa yang tenteram, tubuh badan yang sihat dan cergas.  Insan yang seimbang dan harmonis ini sentiasa bersyukur, bersedia menerima segala ujian dan cabaran hidup serta sentiasa berikhtiar untuk mengatasi masalah dengan fikiran yang tenang. 
iii. Unsur intelek
Unsur ini memberi tumpuan kepada daya berfikir kritis dan kreatif serta mampu menghurai, menaakul, merumus dan menghasilkan idea-idea yang bernas.
iv. Unsur rohani dan emosi
Unsur-unsur ini berkait dengan sifat kejiwaan, hati dan kebatinan iaitu unsur keyakinan kepada Tuhan, beragama, kemantapan jiwa, penghayatan nilai-nilai murni dan norma masyarakat, berbudi pekerti mulia dan berkorban untuk negara dan bangsa.
v. Unsur jasmani
Unsur jasmani memberi tumpuan kepada perkembangan tubuh badan yang sihat dan mempunyai ciri-ciri seperti kecergasan fizikal dan kesihatan diri untuk berdikari dan hidup bermasyarakat.  Selain itu, tubuh badan sihat akan memberi semangat terhadap unsur-unsur lain untuk bekerjasama dalam proses melahirkan insan untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

        Secara keseluruhannya, FPK menekankan kepada rupa bentuk INSAN yang akan dihasilkan daripada sistem pendidikan negara.  Sudah tentu rupa bentuk INSAN yang baik serta mulia yang diharapkan dari sistem pendidikan yang ada pada hari ini.  Hasrat yang terkandung dalam FPK ini dapat direalisasikan menerusi pelaksanaan kurikulum yang membolehkan pelajar dapat menghubungkan ilmu pengetahuan yang dipelajari dengan kesedaran bahawa sumber ilmu secara mutlak adalah milik Allah semata-mata.  Manusia diamanahkan oleh Allah untuk memakmurkan alam ciptaanNya untuk kesejahteraan makhlukNya.  Untuk menunaikan amanah yang diberikan kepada manusia, maka manusia harus berusaha menyedarkan di kalangan manusia sendiri tentang tanggungjawab menguruskan alam ini (Tajul Ariffin Noordin et. al., 1992). Ini dilaksanakan melalui penerapan nilai-nilai murni merentasi kurikulum.

      Dari sudut pekerjaan pula, usaha berterusan secara bersepadu penggunaan latihan, pembangunan organisasi dan kerjaya untuk meningkatkan kecekapan individu, kumpulan dan organisasi itu sendiri dipanggil pembangunan sumber manusia.  Tenaga kerja terlatih yang berpotensi serta berkebolehan mengoptimumkan penggunaan dan pembangunan bahan dan teknologi baru
akan teras menjadi penting dalam memastikan pertumbuhan dan ketahanan ekonomi dalam tempoh RMKe-8.  Dalam tempoh ini, tenaga kerja terlatih yang berpotensi serta berkebolehan mengoptimumkan penggunaan dan pembangunan bahan dan teknologi baru akan terus menjadi penting dalam memastikan pertumbuhan dan ketahanan ekonomi negara.  Permintaan untuk pekerja ICT juga semakin meningkat bagi membolehkan penggunaan teknologi yang sedia ada dan membangunkan teknologi pada masa depan.  Permintaan untuk pekerja teknologi maklumat yang terdiri dari jurutera perkakasan, jurutera perisian, juru analisis sistem, pengatur program komputer dan kakitangan sokongan teknikal telah meningkat daripada 88,160 pada tahun 1998 kepada 108,200 pada tahun 2000 (Rancangan Malaysia Kelapan 2001-2005, 2001).  Jumlah ini dijangkakan akan terus meningkat kepada 181, 600,pada tahun 2005.

        Usaha-usaha untuk memenuhi permintaan pekerja ICT didapati dimulakan dari peringkat sekolah lagi di mana kadar celik komputer di kalangan pelajar ditingkatkan dengan memperluaskan pendidikan ICT ke peringkat sekolah.  Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan  membekalkan sekolah-sekolah rendah dan menengah dengan kemudahan komputer serta menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran bantuan komputer termasuk capaian internet melalui projek pengkomputeran sekolah.  Sehingga kini, projek pengkomputeran sekolah telah memasuki Fasa Ketiga dan dijangkakan menjelang penghujung RMKe-8, semua sekolah akan mempunyai makmal komputer. Begitu juga dengan kemajuan Aplikasi Perdana Sekolah Bestari akan menghasilkan perisian pengajaran dan pembelajaran, dan perisian sistem pengurusan sekolah bestari. 

        Penggunaan komputer dalam pendidikan sudah tentu akan melibatkan pengintegrasian teknologi seperti CD-ROM, pangkalan data, multimedia dan internet.  Perubahan pendidikan melalaui revolusi teknologi maklumat sudah tentu memberi cabaran kepada kreadibiliti kaum guru.  Guru tidak lagi menjadi satu faktor yang penting sebagai penyampai atau pemberi ilmu pengetahuan.  Peranan guru akan berubah daripada pengajar dan pendidik kepada pemudahcara, tutor, perancang dan penilai pembelajaran murid. Perkembangan ICT yang pesat juga turut menyaksikan guru bukan hanya akan didapati di sekolah, malah pelajar akan mempunyai lebih ramai "guru" menerusi pembelajaran menggunakan internet.  Di sini letaknya menjadi peranan guru dan institusi sekolah dalam mengadakan kawalan dalaman dan kawalan luaran.  Kawalan secara dalaman kepada pelajar boleh dilaksanakan melalui penghayatan nilai moral, etika, budaya dan agama dalam organisasi dan masyarakat, pengukuhan falsafah dan prinsip kehidupan dengan menanamkan niat untuk membawa kebaikan kepada alam sejagat dan juga kekuatan rohani dalam menempuh sebarang cubaan.  Kawalan secara luaran pula dilaksanakan dalam bentuk penguatkuasaan etika dan peraturan yang berkaitan dengan penggunaan komputer.  Bagaimanapun, kawalan luaran hanya dapat dilaksanakan semasa pelajar berada di sekolah sahaja manakala kawalan dalaman berlaku secara berterusan tanpa mengira masa dan tempat.  Ini jelas menunjukkan bahawa dalam setiap perkara, kawalan dalaman perlu diutamakan dan penghayatan kepada FPK merupakan suatu kemestian sama ada kepada guru ataupun pelajar. 

        Perubahan peranan guru memerlukan guru-guru dilatih dan didedahkan dengan kemahiran baru supaya mereka tahu mengendalikan dan menggunakan teknologi maklumat dengan berkesan di sekolah.  Dalam tempoh RMK-8, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diberi tanggunghawab untuk memberi penekanan khusus terhadap penggunaan ICT dan kaedah pengajaran kreatif dengan mengkaji semula kurikulum latihan guru, mempergiatkan penggunaan komputer bagi mendapatkan bahan pembelajaran, menyediakan kursus jangka pendek dalam latihan guru oleh Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN).  Bagaimanapun, guru sendiri hendaklah bersikap proaktif supaya mempunyai kemahiran yang diperlukan dengan belajar sendiri.  Bukan setakat guru, malah pentadbir sekolah serta personel KPM juga perlu celik komputer.  Ini adalah kerana penggunaan komputer tidak terbatas untuk pengajaran dan pembelajaran sahaja, malah pengurusan yang dibantu dengan komputer akan menjadi lebih efisien.

        Penguatkuasaan akta-akta berkaitan dengan teknologi maklumat  juga memberi implikasi terhadap sistem pendidikan negara.  Memandangkan kos untuk mendapatkan perisian asli adalah terlalu tinggi dan pihak sekolah tidak berkemampuan untuk membelinya, kegiatan cetak rompak berleluasa di sekolah-sekolah.  Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Hakcipta (Pindaan) 1997, diharapakan dapat menghadkan dan membanteras masalah yang paling besar dalam industri ICT di Malaysia  iaitu cetak rompak perisian.  Dengan ini kerajaan berharap dapat meningkatkan kandungan tempatan dan aplikasi berasas komputer di Malaysia.  Bagaimanapun, adakah dengan penguatkuasaan akta semata-mata merupakan langkah membendung kegiatan cetak rompak yang baik?  Perkembangan ICT yang terlalu pesat telah menyaksikan pelbagai perisian baru silih berganti di pasaran.  Di samping penguatkuasaan undang-undang, apakah alternatif lain yang disediakan oleh KPM supaya guru berpeluang menggunakan perisian ini secara halal demi pendidikan anak didiknya?

        Menjelang penghujung RMKe-8, semua sekolah dijangka akan mempunyai makmal komputer. Ini bermakna, proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan integrasi komputer.  Begitu juga dengan mempunyai jangkauan internet dan mengakses lab web tertentu, khususnya pendidikan membolehkan guru mempunyai pelbagai sumber untuk digunakan dalam pengajaran di bilik darjah.  Sumber maklumat pelajar tidak lagi terbatas di sekolah atau perpustakaan sahaja.  Pelajar boleh mendapatkan apa sahaja maklumat sama ada berbentuk pendidikan atau hiburan semata dengan begitu mudah sekali.  Kewujudan laman-laman lucah dalam internet yang semakin berleluasa pada masa kini merupakan suatu gejala yang sukar dibanteras.  Di samping kebaikan yang didapati melalui integrasi komputer dalam pendidikan, keburukan juga tetap datang.  Kemungkinan untuk pelajar-pelajar ini menerima pengaruh negatif internet adalah tinggi.  Oleh itu, guru sewajarnya mendedahkan etika dan undang-undang menggunakan komputer kepada para pelajarnya.  Akta Jenayah Komputer 1997 yang telah wujud ini boleh membantu guru dalam mengadakan etika penggunaan komputer pada peringkat sekolah bagi membendung pengaruh negatif internet kepada pelajar. Tugas ini agak sukar dilaksanakan memandangkan capaian internet pada masa kini tidak terbatas di sekolah sahaja.  Pada masa kini, kafe siber beroperasi di merata tempat tanpa sebarang kawalan undang-undang yang ketat.

        Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula didapati  menjamin keselamatan komunikasi antara pengguna.  Ini kerana menurut akta ini memintas komunikasi elektronik adalah menjadi satu kesalahan.  Justeru itu penggunaan internet dalam bidang pentadbiran atau perkhidmatan pendidikan akan lebih diyakini.  Contohnya penggunaan internet untuk memudahkan komunikasi dalam Jabatan dan Bahagian dalam Kementerian Pendidikan, seterusnya di Negeri, Daerah dan Sekolah. Dengan adanya Akta Hakcipta (Pindaan) 1997 rekod rangkaian peperiksaan berpusat, inventori sekolah, kemudahan pendidikan, maklumat peribadi akan dilindungi keselamatannya. 

        Akta Tandatangan Digital 1997 pula akan memudahkan pengurusan dalam bidang pendidikan.  Pihak kementerian dapat menyebarkan maklumat pendidikan yang terkini kepada sekolah atau masyarakat setempat serta dapat berurusan secara digital dengan pihak Kementerian Pendidikan luar negara seperti negara ASEAN dengan lebih efektif dan tidak memerlukan kos yang tinggi dan masa yang lama. 
atas

7.0    PENUTUP
Secara keseluruhannya, kemajuan teknologi maklumat di Malaysia telah mengalami perkembangan yang begitu pesat.  Bagaimanapun, terdapat beberapa isu berkaitan dengan dengan pengunaan teknologi maklumat ini iaitu masalah etika penggunaan teknologi maklumat, isu hak cipta dan masalah keselamatan data.  Menguatkuasakan undang-undang semata-mata bukan penyelesaiannya.  Apa yang lebih penting ialah kesedaran setiap individu terhadap tanggungjawab menguruskan alam ini dengan penuh bijaksana dan berhemah.  Bidang pendidikan didapati terlibat secara langsung dalam menanamkan kesedaran ini di samping sokongan daripada pihak-pihak berwajib yang lain.
atas
 

RUJUKAN

Behan and Holmes. 1990. Computers for an information age. Ed. Ke-6. New York: The Benjamin / Cummings Publishing Co.

British Advisory Council for Applied Research and Developement. 1980. Report on information technology.
      London: H.M. Stationery Office.

Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2002. Undang-undang Malaysia Akta 563 : Akta Jenayah Komputer 1997 (atas talian).
     http://dbp.gov.my/buletin/Ssiber2.htm (6 Ogos 2002).

________________________________ 2002. Undang-undang Malaysia Akta 562 : Akta Tandatangan Digital 1997 (atas talian).
     http://dbp.gov.my/buletin/Ssiber1.htm (6 Ogos 2002).

________________________________ 2002. Undang-undang Malaysia Akta 564 : Akta Teleperubatan 1997 (atas talian).
     http://dbp.gov.my/buletin/Ssiber3.htm (6 Ogos 2002).

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2001. Pembangunan Pendidikan 2001-2010.  Kuala Lumpur: Percetakan Negara.

Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia Malaysia. (tanpa tarikh). http://www.ktkm.gov.my/ (6 Ogos 2002).

Kerajaan Malaysia. 2001. Rancangan Malaysia Kelapan 2001-2005. Kuala Lumpur: Percetakan Negara.

Mahathir Mohamad. 2002. Teks ucapan Belanjawan 2003 (atas talian).
     http://www.emedia.com.my/Current_News/BH/Friday/Ucapan/20020920175805/Article/ (21 September 2002).

Malaysian Communications and Multimedia Commission. (tanpa tarikh). Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998
      Akta 588 (atas talian). http://corona.cmc.gov.my/legis_cma1999.htm (6 Ogos 2002).

______________________________________________ (tanpa tarikh). Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
      1998 Akta 589 (atas talian). http://corona.cmc.gov.my/legis_mcmc1998.htm (6 Ogos 2002).

Martin, E. W. 1994. Managing information technology: What managers need to know. New York: Prentice Hall.

Multimedia Development Corporation. (tanpa tarikh). The future is the MSC (atas talian). http://www.mdc.com.my/ (15 Ogos 2002)
Najat Ahmad Marzuki.2002. 24 IPT diiktiraf berstatus MSC. Berita Harian, 24 Ogos.

National Information Technology Council. 2001. About National IT Agenda - NITA (atas talian).
     http://www.nitc.org.my/nita/index.shtml (13 Ogos 2002).

Senn, J.A. 1998. Information technology in bussiness: Principles, practices and opportunities. Ed. Ke-2. 
      New Jersey: Prentice Hall.

Tajul Ariffin Noordin & Nor'Aini Dan. 1992.  Pendidikan dan Wawasan 2020. Kuala Lumpur: Arena Ilmu.

Tofler A. 1990. The third wave. Bantam Press.

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia. 2002. MSC Flagship Applications (atas talian).
     http://www.mampu.gov.my/EG/EG_MSCFlags.htm (15 Ogos 2002).
atas

|Muka Depan|  |Biodata|  |Senarai Kursus> GE6543> Tugasan 1
|Tugasan 1 |Tugasan 2|  |Tugasan 3|  |Tugasan 4|  |Tugasan 5|  |Tugasan 6|