|Muka Depan|  |Biodata|  |Senarai Kursus>GE6663> Tugasan 2
|Tugasan 1 |Tugasan 2|  |Tugasan 3|  |Tugasan 4|  |Tugasan 5|  |Tugasan 6|  |Tugasan 7|
GE6663
Pengajaran dan Pembelajaran Bantuan Komputer
Tugasan 2 : Kajian Permulaan

PEMBINAAN PERISIAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BANTUAN KOMPUTER MATA PELAJARAN TEKNOLOGI MAKLUMAT BERTAJUK BELAJAR MS ACCESS


KANDUNGAN
1.0 PENGENALAN
2.0 LATAR BELAKANG SISTEM SEKARANG
2.1   Organisasi Kandungan Mata Pelajaran Teknologi Maklumat
2.2   Perisian Sistem Pengurusan Pangkalan Data : Microsoft Access 2000
2.3   Kemahiran Mengendalikan MS Access
2.4   Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran MS Access
2.5   Pentaksiran
3.0 KEKUATAN SISTEM SEKARANG
4.0 KELEMAHAN DAN MASALAH SISTEM SEKARANG
5.0 PELUANG
5.1   Persoalan Kajian
5.2   Matlamat Kajian
5.3   Objektif Kajian
6.0 ANCAMAN (BATASAN KAJIAN)



1.0 PENGENALAN

Teknologi telah memberi kesan yang amat besar terhadap kehidupan masyarakat.  Bermula dari perubahan yang berlaku semasa Revolusi Industri sehinggalah ke Era Maklumat pada hari ini, banyak teknologi baru telah diperkenalkan sama ada untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau mempercepatkan sesuatu proses.  Teknologi maklumat ialah semua jenis teknologi yang digunakan untuk memproses, menyimpan dan memindahkan maklumat dalam bentuk elektronik.  Teknologi yang paling penting dalam masyarakat maklumat ialah komputer.  Dalam era maklumat ini, terdapat bermacam-macam maklumat yang perlu diuruskan.  Koleksi maklumat ini perlu diuruskan mengikut struktur dan kepentingannya supaya lebih memberi makna.  Perisian yang berfungsi untuk mengawal penyimpanan dan pengurusan pangkalan data dinamakan sebagai Sistem Pengurusan Pangkalan Data (Database Management System - DBMS).  Antara contoh perisian DBMS termasuklah dBase, DataPerfect, Paradox dan MIcrosoft Access.

        Dalam bidang pendidikan, komputer telahpun digunakan dengan meluasnya untuk penulisan teks menerusi penggunaan perisian pemprosesan perkataan (Word Processing) dan penyimpanan rekod pelajar menerusi penggunaan perisian hamparan elektronik (Spreadsheet).  Selaras dengan perkembangan teknologi komputer yang semakin pesat, elemen teknologi ini harus diintegrasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi mata pelajaran tertentu secara bijaksana iaitu dengan kata lain, teknologi merentasi kurikulum.  Integrasi teknologi komputer ini diharapkan akan dapat memberi peluang pembelajaran yang lebih baik menggunakan potensi pelajar secara maksimum tetapi mengikut keupayaan, keperluan dan minat pelajar yang berbeza-beza.

atas

2.0 LATAR BELAKANG SISTEM SEKARANG

Mata pelajaran Teknologi Maklumat (TM) yang ditawarkan di peringkat sekolah menengah atas adalah bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran tentang teknologi maklumat dan membina sikap yang bersesuaian untuk menghadapi cabaran dalam era maklumat.
 

2.1 Organisasi Kandungan Mata Pelajaran Teknologi Maklumat

Kurikulum TM diolah dan disusun kepada enam bidang pengetahuan di mana salah satu bidang tersebut ialah Sistem Maklumat.  Setiap bidang pengetahuan dalam kurikulum TM KBSM mempunyai unsur pengetahuan, kemahiran dan nilainya yang tersendiri.  Walaubagaimanapun, unsur yang utama bagi kandungan kurikulum TM ialah kemahiran.  Unsur kemahiran yang terdapat dalam bidang sistem maklumat ialah :-

i.      kemahiran komunikasi;
ii.     kemahiran pengendalian maklumat;
ii.    kemahiran mengendali sistem maklumat;
iv.    kemahiran menyelesaikan masalah.

        Setiap kemahiran ini mempunyai kriteria yang tersendiri bagi menentukan tahap kemahiran yang dicapai oleh seseorang pelajar.  Kemahiran mengendalikan sistem komputer dalam bidang sistem maklumat adalah merujuk kepada kemahiran mengendalikan perisian DBMS.
 

2.2 Perisian Sistem Pengurusan Pangkalan Data : Microsoft Access 2000

Kurikulum TM KBSM tidak menetapkan sebarang perisian khusus bagi tujuan P&P kemahiran mengendalikan perisian DBMS.  Bagaimanapun, perisian Microsoft Access (MS Access) dijadikan pilihan oleh guru-guru TM berdasarkan beberapa ciri yang ditunjukkannya. MS Access merupakan alatan pengurusan pangkalan data yang didatangkan dengan Microsoft Office 2000 Professional sebagai sebahagian dari Microsoft Professional.  MS Access 2000 mempunyai ciri yang boleh menarik pelbagai pengguna.  MS Access 2000 memasukkan sejumlah "wizard" bagi melengkapkan pelbagai tugas pangkalan data untuk kemudahan pengguna baru.  MS Access juga memasukkan ciri-ciri berkuasa untuk memanipulasikan data dalam jadual, data dalam sistem dan data yang terdapat pada pelayan Web.

        Oleh kerana MS Access adalah berasaskan kepada model pangkalan data hubungan, kita boleh mencipta aplikasi yang berkuasa dan boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara.  MS Access membenarkan untuk menyimpan maklumat dalam jadual yang terpisah dan menggunakan data dari satu atau lebih jadual menerusi perhubungan.  Sistem pengurusan pangkalan data yang membenarkan kita membentuk perhubungan antara jadual-jadual ialah Sistem Pengurusan Pangkalan Data Perhubungan (Relational Database Management System - RDBMS).
 

2.3 Kemahiran Mengendalikan MS Access

Kriteria yang dijadikan pengukur kepada kemahiran mengendalikan MS Access dalam kurikulum TM KBSM ialah :-

i.     membina dan menggunakan jadual, borang, laporan, kuiri dan makro yang sesuai;
ii.    mengisih dan mengindeks data menggunakan medan tunggal dan medan berganda mengikut langkah-langkah yang betul;
iii.    menghubungkan jadual (fail) dalam pangkalan data yang betul;
iv.    menyunting borang tersuai dengan berkesan dan
v.     menghubungkan pangkalan data kepada hamparan elektronik atau pemprosesan perkataan dengan betul.
 

2.4 Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran MS Access

Sukatan Pelajaran Teknologi Maklumat Kurikulum Baru Sekolah Menengah (TM KBSM) menyarankan dua pendekatan untuk dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi tujuan menyampaikan ilmu TM iaitu "belajar tentang teknologi maklumat" dan "belajar dengan teknologi maklumat".  Bagi merealisasikan pendekatan yang disarankan ini, kaedah dan strategi P&P yang digunakan berkaitan dengan perisian MS Access ialah:-

i.        Kuliah

Pengajaran berbentuk kuliah dilaksanakan semasa memperkenalkan persekitaran MS Access.  Menerusi kaedah ini, guru menerangkan fungsi menu-menu dan butang-butang yang penting pada tetingkap MS Access dengan bantuan paparan pada skrin monitor dan edaran bahan bercetak yang dibekalkan kepada pelajar.  Pelajar dikehendaki membuat catatan tambahan berdasarkan penyampaian guru pada ruang yang disediakan dalam edaran tersebut.  Edaran bahan bercetak tersebut berfungsi sebagai nota dan latihan pelajar di mana pada akhir pengajaran semua edaran tersebut akan dikumpulkan semula untuk disemak.  Pelajar juga diberi peluang mencuba meneroka fitur-fitur yang terdapat pada tetingkap MS Access.
ii.       Modul Pembelajaran Bercetak
Modul pembelajaran dalam bentuk bahan bercetak yang mengandungi aktiviti peringkat asas berkaitan dengan penggunaan perisian MS Access diedarkan kepada para pelajar untuk dilaksanakan.  Semasa kelas berlangsung, para pelajar dikehendaki melaksanakan arahan aktiviti-aktiviti yang terdapat di dalam modul pembelajaran ini.  Guru akan memberi panduan dari semasa ke semasa mengikut keperluan individu pelajar.  Sebarang kemusykilan yang timbul terhadap mana-mana arahan aktiviti, pelajar boleh terus bertanya kepada guru.  Pelajar diberi tempoh yang tertentu untuk menamatkan modul ini.  Sebagai bukti pembelajaran, pelajar dikehendaki menghantar disket yang mengandungi hasilan dari pembelajaran menggunakan modul.  Pelajar dibenarkan menggunakan modul ini selain dari waktu pembelajaran rasmi.
iii.       Projek Pelajar
Instrumen pentaksiran bagi kemahiran mengendalikan perisian DBMS ialah projek.  Oleh itu, kumpulan pelajar yang terdiri dari dua hingga tiga orang dikehendaki memberi cadangan tajuk projek yang diminati untuk dilaksanakan menggunakan perisian MS Access.  Setiap projek mestilah mengandungi ciri-ciri kemahiran sebagaimana yang dinyatakan dalam Dokumen Elemen dan Kriteria serta Rekod Pembelajaran.  Sepanjang melaksanakan projek ini, pelajar dikehendaki menulis laporan ke dalam buku log kumpulan masing-masing sebagai makluman kemajuan projek kepada guru.  Setiap kumpulan pelajar dikehendaki membentangkan hasil projek kepada rakan-rakan yang lain.
        Pelaksanaan pendekatan baru dalam P&P TM menuntut guru untuk mengubah peranan mereka; daripada "tuan" kepada "pembantu", daripada "pengarah" kepada "penyelia", daripada "diktator" kepada "fasilitator".  Pelajar berpeluang menentukan dan merancang pembelajaran sementara guru pula bertindak memastikan pelajar berjaya melaksanakan rancangan pembelajaran mereka dan mencapai kriteria yang ditetapkan.
 

2.5 Pentaksiran

Kurikulum TM digubal dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bestari dan disokong oleh pentaksiran berasaskan kriteria.  Guru-guru TM perlu banyak merujuk dokumen pentaksiran yang terdiri daripada Senarai Elemen dan Kriteria serta Instrumen Pentaksiran yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).  Pentaksiran bagi mata pelajaran TM terbahagi kepada dua bentuk iaitu pentaksiran berasaskan sekolah dan pentaksiran berasaskan pusat.  Kemahiran mengendalikan perisian MS Access ditaksir dalam kedua-dua jenis pentaksiran ini.

        Pentaksiran berasaskan sekolah yang berkaitan dengan kemahiran mengendalikan perisian MS Access digunakan dengan tujuan untuk mengukur tahap kemahiran pelajar berbanding dengan kriteria yang ditetapkan di dalam Dokumen Elemen dan Kriteria serta Rekod Pembelajaran.  Instrumen yang digunakan adalah berbentuk projek yang akan dinilai oleh guru.  Pelajar diberi peluang memperbaiki diri masing-masing ke arah mencapai kemahiran tersebut (assessment for bettter learning).

    Pentaksiran berasaskan pusat pula adalah meliputi soalan kertas I TM.  Kertas ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu A, B dan C.  Bahagian A terdiri dari 10 soalah objektif dan 10 soalan subjektif, Bahagian B pula terdiri dari soalan subjektif berstruktur dan Bahagian C merupakan soalan berbentuk permasalahan bagi mengukur kemahiran spesifik seperti pengaturcaraan.  Soalan yang berkaitan dengan kemahiran mengendalikan MS Access diletakkan sebagai salah satu pilihan soalan dalam Bahagian B.  Masa yang yang diperuntukan untuk menjawab soalan ini ialah 25 minit.

        Pada peringkat sekolah, pentaksiran berasaskan pusat didedahkan kepada pelajar melalui pelaksanaan ujian amali dan peperiksaan.  Soalan yang disediakan juga mengikut format peperiksaan sebenar.  Kedua-dua jenis pentaksiran ini dilaksanakan mengikut penskoran O, B, A, T mengikut urutan belum menguasai kepada cemerlang.

atas

3.0 KEKUATAN SISTEM SEKARANG

Olahan kandungan kurikulum TM KBSM kepada enam bidang pengetahuan yang tertentu secara bersendirian iaitu tanpa berhierarki seperti yang telah dinyatakan sebelum ini membolehkan pengajaran tentang perisian MS Access dilaksanakan mengikut kesesuaian latar belakang pengetahuan dan kemahiran pelajar sekolah masing-masing.  Ini bermakna, pengajaran tentang perisian MS Access boleh didahulukan dari bidang-bidang lain sekiranya guru mendapati pelajar telahpun mempunyai pengetahuan dan dan kemahiran sedia ada yang cukup untuk mempelajari MS Access.  Oleh kerana MS Access adalah komponen MS Office, pembelajaran menjadi lebih mudah sekiranya pelajar telahpun mempunyai kemahiran mengendalikan perisian aplikasi lain dalam MS Office seperti MS Word, MS Excel dan MS Powerpoint kerana terdapat beberapa kesamaan dalam persekitarannya.

        Penggunaan modul bercetak membolehkan pelajar belajar mengikut kemajuan (self pace) pembelajaran masing-masing.  Guru hanya perlu memberi tumpuan yang lebih kepada pelajar yang lemah.  Aktiviti boleh diteruskan di luar waktu kelas iaitu sama ada di makmal komputer sekolah, di Cyber Cafe atau di rumah sekiranya masa yang diperuntukan pada waktu kelas tidak mencukupi untuk melaksanakan modul tersebut.  Guru juga boleh mendapatkan bantuan daripada pelajar yang telah mahir bagi membantu rakan-rakan meraka yang masih lemah.  Secara tidak langsung, unsur-unsur nilai iaitu dapat diterapkan di kalangan pelajar.

        Pelaksanaan projek adalah melibatkan pengurusan data dan maklumat yang terdapat di sekeliling pelajar itu sendiri.  Pelajar telahpun jelas tentang kepentingan dan kegunaan projek yang mereka jalankan.  Sebarang masalah yang timbul semasa melaksanakan projek tersebut adalah merupakan suatu pembelajaran yang bermakna kerana berkaitan dengan dengan masalah sebenar dalam membangunkan sesuatu DBMS.  Pelajar adalah lebih mudah belajar sesuatu yang mempunyai kaitan dengan diri mereka.  Guru pula lebih mudah mengesan tahap kemahiran pelajar berdasarkan penglibatan pelajar dan kemajuan projek yang dilaporkan melalui buku log masing-masing.  Di samping itu juga, unsur nilai dari aspek menghargai sumbangan sistem maklumat serta bekerjasama dalam kumpulan dapat diterpkan bersama.

        Dokumen Elemen dan Kriteria serta Rekod Pembelajaran banyak membantu guru membuat perancangan pengajaran yang lebih berkesan kerana setiap kriteria yang hendak dicapai ada dinyatakan.  Pelajar dapat menyemak kemajuan pembelajaran menggunakan Rekod Pembelajaran masing-masing.  Sekiranya terdapat kriteria yang belum dicapai, mereka masih mempunyai peluang untuk memperbaiki pencapaian.  Ini merupakan suatu motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kriteria tersebut.

        Internet juga terdapat laman Web yang menawarkan kemudahan tutorial secara "on-line" untuk mengendalikan MS Access.  Pelajar-pelajar boleh merujuk kepada laman Web berkenaan untuk tujuan pembelajaran.  Selain itu juga terdapat buku-buku mempelajari MS Access dalam bahasa Melayu.  Antaranya ialah  seperti buku Mengenali dan Mempelajari MS Access 97 oleh Chua Chooi See.

atas

4.0 KELEMAHAN DAN MASALAH SISTEM SEKARANG

Kaedah kuliah dengan penggunaan media pengajaran yang minimum iaitu edaran bahan bercetak sahaja menimbulkan kebosanan dikalangan pelajar.  Ini menyebabkan mereka tidak memberi tumpuan yang sepenuhnya semasa pengajaran guru dan seterusnya ketinggalan dalam memahami isi pelajaran pada masa tersebut.

        Penggunaan modul hanya melibatkan komunikasi sehala.  Ia juga melibatkan penggunaan grafik yang minimum.  Mana-mana arahan aktiviti yang sukar difahami, guru terpaksa menerangkan semula kepada pelajar berkenaan.  Oleh kerana pelaksanaan modul adalah mengikut kemajuan pelajar, kemungkinan guru terpaksa memberi penerangan bahagian arahan aktiviti yang kurang difahami pelajar berulang kali kepada individu yang berlainan.  Ini sudah tentu memenatkan guru.  Pelajar pula tidak dapat meneruskan aktiviti sehingga mendapat penerangan dari guru.  Keadaan menjadi lebih teruk lagi sekiranya pada masa yang sama terdapat ramai pelajar yang memerlukan bantuan guru.  Banyak masa dibazirkan dengan menunggu penerangan guru.  Suasana bising kemungkinan timbul menyebabkan tumpuan pelajar lain terganggu.

       Kebanyakan pelajar yang mengambil mata pelajaran TM tidak mempunyai asas berkenaan dengan pengetahuan dan kemahiran komputer.  Oleh itu, adalah sukar bagi pelajar berkenaan memahirkan diri dalam mengendalikan MS Access sekiranya kemahiran mengendalikan perisian aplikasi yang lain masih berada pada tahap lemah.  Tambahan pula persekitaran MS Access yang menggunakan bahasa Inggeris menyukarkan pelajar yang lemah dalam Bahasa Inggeris untuk mempelajari MS Access dengan lebih cepat.  Kebanyakkan masa dihabiskan untuk mempelajari perkara asas menyebabkan kesuntukan masa untuk belajar kemahiran yang lebih kompleks.  Akhirnya, kemahiran yang dicapai tidak seberapa dan memberi kesan kepada keputusan peperiksaan SPM.

        Sebanyak empat waktu dalam seminggu yang diperuntukkan dalam jadual waktu untuk mata pelajaran Teknologi Maklumat adalah tidak mencukupi untuk mempelajari perisian MS Access sekaligus menghasilkan projek yang memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi dalam jangka waktu yang singkat.  Ini ditambah lagi dengan masa yang diperlukan untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul sewaktu mempelajari perisian MS Access itu sendiri dan melaksanakan projek.  Walaupun pelajar dibenarkan melaksanakan modul dan projek di luar kelas, namun penggunaannya terhad kepada hari-hari tertentu sahaja kerana untuk memberi peluang kepada pelajar lain menggunakan komputer.  Penggunaan komputer di rumah atau di Cyber Cafe sekalipun masih menimbulkan masalah sekiranya ada arahan aktiviti yang sukar difahami, tiada siapa yang boleh dirujuk.

atas

5.0 PELUANG

5.1 Persoalan Kajian

Berdasarkan kepada masalah dan kelemahan yang terdapat dalam sistem pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan sekarang, beberapa soalan kajian dapat dibentuk.

i.      Bagaimanakah sebuah perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar
        mengendalikan perisian MS Access yang boleh menarik minat pelajar untuk belajar dapat dibina?

ii.     Bagaimanakah sebuah perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar
        mengendalikan perisian MS Access yang mengandungi arahan yang mudah difahami serta ringkas
        dapat dibina?

iii.     Bagaimanakah sebuah perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar
        mengendalikan perisian MS Access yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa
        perantaraan dapat dibina?

iv.    Bagaimanakah sebuah perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar
        mengendalikan perisian MS Access yang memenuhi kehendak unsur kemahiran mengendalikan
        sistem komputer bagi kurikulum TM KBSM dapat dibina?

v.      Adakah perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar mengendalikan
        perisian MS Access yang dibina boleh menarik minat pelajar untuk belajar?

vi.     Adakah perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar mengendalikan
        perisian MS Access yang dibina mengandungi arahan yang mudah difahami serta ringkas?

vii.     Adakah perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar mengendalikan
        perisian MS Access yang dibina menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan?

viii.    Adakah perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar mengendalikan
        perisian MS Access yang dibina memenuhi kehendak unsur kemahiran mengendalikan
        sistem komputer bagi kurikulum TM KBSM dapat dibina?
 

5.2 Matlamat Kajian

Matlamat kajian ini ialah untuk membina sebuah perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar mengendalikan perisian MS Access yang menggunakan arahan dalam Bahasa Melayu yang mudah dan ringkas bagi menarik minat pelajar untuk terus belajar serta memenuhi kehendak unsur kemahiran mengendalikan sistem komputer kurikulum TM KBSM.
 

5.3 Objektif Kajian

i.      Membina sebuah perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar
        mengendalikan perisian MS Access yang boleh menarik minat pelajar.

ii.     Membina sebuah perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar
        mengendalikan perisian MS Access yang mengandungi arahan yang mudah difahami serta
        ringkas.

iii.     Membina sebuah perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar
        mengendalikan perisian MS Access yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa
        perantaraan.

iv.     Membina sebuah perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar
        mengendalikan perisian MS Access yang memenuhi kehendak unsur kemahiran mengendalikan
        sistem komputer bagi kurikulum TM KBSM.

v.      Memastikan perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar mengendalikan
        perisian MS Access yang dibina boleh menarik minat pelajar untuk belajar.

vi.     Memastikan perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar mengendalikan
        perisian MS Access yang dibina mengandungi arahan yang mudah difahami serta ringkas.

vii.     Memastikan perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar mengendalikan
        perisian MS Access yang dibina menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan.

viii.    Memastikan perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar mengendalikan
        perisian MS Access yang dibina memenuhi kehendak unsur kemahiran mengendalikan
        sistem komputer bagi kurikulum TM KBSM.

atas

6.0 ANCAMAN (BATASAN KAJIAN)

Pembinaan perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer belajar mengendalikan perisian MS Access ini hanya meliputi unsur kemahiran dari aspek mengendalikan Sistem Pengurusan Pangkalan Data dalam bentuk jadual sahaja.  Kumpulan sasaran pengguna perisian kursus ini ilah pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran Teknologi Maklumat KBSM.  Oleh itu, keseluruhan olahan kandungan perisian adalah merujuk kepada kurikulum TM KBSM.  Walaubagaimanapun, pengguna lain yang berminat untuk mempelajari MS Access juga boleh menggunakan perisian ini.

atas

|Muka Depan|  |Biodata|  |Senarai Kursus>GE6663> Tugasan 2
|Tugasan 1|  |Tugasan 2|  |Tugasan 3|  |Tugasan 4|  |Tugasan 5|  |Tugasan 6|  |Tugasan 7|