Make your own free website on Tripod.com
|Muka Depan|  |Biodata|  |Senarai Kursus> GE6663> Tugasan 6
|Tugasan 1|  |Tugasan 2|  |Tugasan 3|  |Tugasan 4|  |Tugasan 5|  |Tugasan 6|  |Tugasan 7|
GE6663
Pengajaran dan Pembelajaran Bantuan Komputer
Tugasan 6 : Rekabentuk

PEMBINAAN PERISIAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BANTUAN KOMPUTER MATA PELAJARAN TEKNOLOGI MAKLUMAT BERTAJUK BELAJAR MS ACCESS


KANDUNGAN
1.0 REKABENTUK STRUKTUR PEDAGOGI PERISIAN PPBK
1.1   Struktur Pedagogi Tutorial
1.2   Struktur Pedagogi Latih Tubi
2.0 REKA BENTUK KANDUNGAN PERISIAN PPBK
2.1   Struktur Organisasi Kandungan
        2.1.1 Struktur Hirarki
        2.1.2 Struktur Rangkaian / Sawang
        2.1.3 Gabungan Struktur Hirarki dengan Struktur Sawang
2.2   Perincian Kandungan Perisian PPBK
        2.2.1 Tajuk 1 : Antaramuka Microsoft Access 2000
        2.2.2 Tajuk 2 : Jadual
        2.2.3 Tajuk 3 : Borang
        2.2.4 Tajuk 4 : Jadual Perhubungan
        2.2.5 Latihan
3.0  LANGKAH-LANGKAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P&P)
3.1   Pengenalan
3.2   Manual Pengguna
3.3   Menu Utama
        3.3.1 Antaramuka
        3.3.2 Jadual
        3.3.3 Borang
        3.3.4 Jadual Perhubungan
        3.3.5 Latihan
RUJUKAN


1.0 REKABENTUK STRUKTUR PEDAGOGI PERISIAN PPBK
Perisian pengajaran dan pembelajaran bantuan komputer (PPBK) pada awalnya menekankan kepada pendekatan sistematik berdasarkan kepada satu set prinsip-prinsip rekabentuk pengajaran.  Bagaimanapun, pendekatan seperti ini telah diikuti pula oleh perkembangan teknologi komputer seperti hiperteks dan rekabentuk pembelajaran.  Teori konstruktivism telah menjadi pendekatan yang paling berpengaruh terhadap rekabentuk. Teori konstruktivisme mempunyai satu asas yang kuat dalam teori psikologi dan menawarkan skop yang besar untuk mengeksploitasi peluang yang ditawarkan oleh teknologi moden. Menurut Tom Boyle (1997), berdasarkan kepada penyelidikan, secara psikologinya pelajar membina sendiri pengetahuan.  Jadi, peranan sistem yang berasaskan komputer adalah untuk membantu proses yang berbentuk konstruktif.  Berdasarkan kepada kriteria kaedah pengajaran berasaskan komputer, PPBK biasa yang terkini boleh dikategorikan kepada lima iaitu latih tubi, tutorial, simulasi, pengajaran permainan dan penyelesaian masalah.  Setiap kategori PPBK ini menawarkan kelebihan yang istimewa berbanding dengan kaedah pengajaran menggunakan media selain komputer.  Perisian PPBK yang akan dibangunkan akan menggunakan pendekatan tutorial dan latihtubi.
atas
1.1 Struktur Pedagogi Tutorial
Perisian PPBK dengan pendekatan tutorial cuba untuk menyamakan dengan kepakaran guru di mana komputer akan berperanan sebagai tutor peribadi.  Tujuannya ialah untuk menjanakan kandungan dan tindakan pengajaran yang disesuaikan dengan keperluan pembelajaran individu (Timothy J. Newby, Donald A. Stepich, James D. Lehman dan James D. Russell 2000).  Tumpuan utama tutorial adalah ke atas strategi pengajaran berbanding dengan pembelajaran.  Konsep masalah berpusat melibatkan pembinaan perisian yang menjelmakan kebolehan untuk menyesuaikan pengajaran.  Menurut Tom Boyle (1997), tutorial ini perlu mengendalikan tiga tugas utama :-
i.      menjanakan apa yang hendak di ajar kepada pelajar;
ii.     memilih kaedah pengajaran yang paling sesuai;
iii.    mendiagnosis dan memberi maklum balas yang sesuai kepada masalah pembelajaran.

        Struktur pedagogi perisian PPBK dengan pendekatan tutorial adalah berdasarkan kepada model struktur PPBK tutorial seperti yang digariskan oleh Alessi & Trollip (1991).  Struktur PPBK tutorial dapat diwakili oleh Rajah 1 seperti di bawah :
 
Rajah 1 : Struktur PPBK Tutorial

i.    Pengenalan
Bahagian pengenalan akan menjelaskan tajuk kandungan yang akan diajar beserta dengan objektif pengajaran dan     pembelajaran yang hendak dicapai.  Tajuk utama ini dipecahkan kepada beberapa subtajuk kecil ke arah mencapai objektif
pengajaran dan pembelajaran.  Pelajar akan mengetahui serta memahami tujuan pembelajaran tajuk berkenaan pada bahagian ini.

ii.    Persembahan Maklumat
Bahagian persembahan maklumat akan mempersembahkan semua maklumat berkaitan dengan pemahaman konsep dan penguasaan kemahiran.  Persembahan maklumat diperjelaskan pada bahagian ini dengan menggunakan unsur-unsur berbentuk teks, grafik, imej dan animasi.

iii.    Soalan/ Aktiviti & Gerakbalas
Bahagian ini mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan maklumat yang telah dipersembahkan dalam bentuk aktiviti yang memerlukan pelajar bergerakbalas.

iv.    Penilaian Gerakbalas
Gerakbalas yang diberikan oleh pelajar akan dinilai oleh perisian sebagai betul atau salah bagi menentukan sama ada pelajar dapat memahami unsur-unsur pengetahuan dalam maklumat yang telah dipersembahkan.  Unsur-unsur kemahiran pula dinilai oleh pelajar sendiri berpandukan kepada grafik yang dipaparkan oleh perisian sebagai garis panduan.  Pelajar berpeluang untuk mengulangi soalan.

v.    Maklumbalas
Maklumbalas berkaitan dengan penilaian gerak balas oleh perisian akan diberikan oleh perisian dalam bentuk berupa maklumat, pujian dan motivasi .  Gerakbalas positif akan menghasilkan maklumbalas berupa pujian yang disertakan aktiviti pengayaan.  Gerakbalas negatif akan menghasilkan maklumbalas berupa motivasi yang disertakan dengan aktiviti pemulihan.  Maklumbalas berkaitan dengan penilaian gerak balas secara kendiri akan dilakukan oleh pelajar dengan cara mengulangi bahagian persembahan maklumat atau latihan sekiranya belum berpuashati dengan penguasaan kemahiran.

vi.    Penutup
Setelah semua objektif pengajaran dan pembelajaran telah dapat dicapai tutorial ditamatkan.  Walaubagaimanapun, pelajar boleh memilih untuk mengulangi tutorial jika belum berpuas hati dengan pemahaman konsep dan penguasaan kemahiran.
atas

1.2 Struktur Pedagogi Latih Tubi
Perisian PPBK dengan pendekatan latih tubi membimbing pelajar menerusi satu siri latihan praktis yang direkabentuk untuk meningkatkan penguasaan dalam kemahiran baru atau membuat ulangkaji (Timothy J. Newby, Donald A. Stepich, James D. Lehman dan James D. Russell 2000).  Penggunaan kaedah ini adalah dengan anggapan pelajar telahpun menerima pengajaran tentang konsep, prinsip atau prosedur dalam soalan.  Untuk menjadikan kaedah ini lebih berkesan, latihtubi perlu memasukkan maklum balas penyemakan untuk memulihkan kesalahan yang pelajar mungkin buat sepanjang proses itu.  Perisian PPBK yang akan dibangunkan menggunakan pendekatan latih tubi pada bahagian latihan.

        Struktur pedagogi perisian PPBK dengan pendekatan latih tubi disesuaikan dari model struktur PPBK latih tubi seperti yang digariskan oleh Alessi & Trollip (1991).  Struktur PPBK tutorial dapat diwakili oleh Rajah 2 seperti di bawah :
 
Rajah 2 : Struktur PPBK Latih Tubi

i.    Pengenalan
Bahagian pengenalan akan menjelaskan skop, jenis, kuantiti dan cara menjawab soalan.

ii.    Persembahan Soalan / Aktiviti
Bahagian persembahan soalan akan mempersembahkan soalan berkaitan dengan pemahaman konsep atau penguasaan kemahiran.  Persembahan soalan pada bahagian ini diperjelaskan lagi melalui penggunaan unsur-unsur teks, grafik dan imej.

iii.    Gerakbalas
Bahagian ini menerima gerak balas pelajar berkaitan dengan soalan yang telah dikemukakan.  Gerak balas sama ada memerlukan pelajar menaip teks, mengklik tetikus, memadan rajah atau melaksanakan kemahiran berkaitan dengan Microsoft Access.

iv.    Penilaian Gerakbalas
Gerakbalas yang diberikan oleh pelajar akan dinilai oleh perisian sebagai betul atau salah bagi menentukan sama ada pelajar dapat memahami unsur-unsur pengetahuan.  Unsur-unsur kemahiran pula dinilai oleh pelajar sendiri berpandukan kepada grafik yang dipaparkan oleh perisian sebagai garis panduan.  Pelajar berpeluang untuk mengulangi soalan.

v.    Maklumbalas
Maklumbalas berkaitan dengan penilaian gerak balas oleh perisian akan diberikan oleh perisian dalam bentuk maklumat, pujian dan motivasi .  Gerakbalas positif akan menghasilkan maklumbalas berupa pujian yang disertakan dengan pemberian markah.  Gerakbalas negatif akan menghasilkan maklumbalas berupa motivasi.  Maklumbalas berkaitan dengan penilaian gerak balas secara kendiri akan dilakukan oleh pelajar dengan cara mengulangi latihan sekiranya belum berpuashati dengan penguasaan kemahiran.

vi.    Penutup
Pencapaian pelajar bagi keseluruhan soalan yang dijawab dimaklumkan dalam bentuk peratusan dan latih tubi ditamatkan.  Walaubagaimanapun, pelajar boleh memilih untuk mengulangi latih tubi jika belum berpuas hati dengan pencapaian yang diperolehi.
atas
 

2.0 REKA BENTUK KANDUNGAN PERISIAN PPBK

2.1 Struktur Organisasi Kandungan
Keseluruhan penstrukturan kandungan perisian PPBK melibatkan pembentukan kurikulum.  Penstrukturan kandungan yang teliti menjadi semakin penting apabila pembelajaran semakin kompleks.  Terdapat beberapa pilihan dalam menstrukturkan organisasi kandungan perisian PPBK.  Antaranya ialah :-
i.     Hirarki
ii.    Rangkaian atau Sawang
iii.   Gelang Kepakaran / Berasaskan Ketrampilan
iv.    Kurikulum spiral
v.     Bertema

Struktur organisasi kandungan yang terlibat dalam membangunkan perisian PPBK Belajar Microsoft Access ialah hirarki dan rangkaian atau sawang.
atas
2.1.1 Struktur Hirarki
Struktur hirarki merupakan satu pendekatan untuk menstrukturkan kandungan dengan analisis secara formal ke atas aktiviti yang diperlukan, diikuti dengan penstrukturan kurikulum secara sistematik untuk mempastikan ianya merangkumi kesemua kandungan.  Ini merupakan pendekatan disiplin yang diutamakan untuk merekabentuk (Gagne' dan Briggs 1979).  Pertamanya tingkahlaku pengguna sasaran dianalisa untuk memecahkannya secara sistematik kepada beberapa bahagian dari keseluruhan.  Pemecahan ini digunakan untuk memperolehi satu aturan kurikulum.  Kemahiran yang mudah dilatih dan dikuasai sebelum kemahiran yang lebih kompleks.  Penstrukturan yang sistematik ini selalunya dipadankan dengan satu pedagogi di mana penekanannya adalah ke atas pengajaran dan latihan.  Jadi, ia adalah model yang direkbentuk dengan teliti bagi aktiviti pengajaran.

        Struktur kurikulum bagi perisian PPBK Belajar Microsoft Access yang berasaskan kepada struktur hirarki dapat ditunjukkan seperti Rajah 3 di bawah :-
 
Rajah 3 : Struktur Hirarki bagi PPBK
atas
2.1.2 Struktur Rangkaian / Sawang
Kadang-kala terdapat pelajar yang jemu untuk mengikuti siri pembelajaran yang tetap secara langkah demi langkah.  Ini menyebabkan Caroll (1990) serta pembantunya membangunkan pendekatan yang dipanggil pendekatan Minimalist.  Pendekatan ini berbeza secara radikal terhadap pembinaan bahan pembelajaran di mana kandungan dipertimbangkan mengutamakan bahan pembelajaran berasaskan teks untuk kemahiran teknologi maklumat.  Minimalism menunjukkan fungsi yang bertentangan dengan pendekatan formal secara hirarki untuk membina kurikulum bagi pembelajaran.  Kurikulum distrukturkan bagi membolehkan pelajar memulakan tugas-tugas sebenar dengan lebih cepat.  Tugas-tugas bermakna dalam konteks sebenar mengambil keutamaan dari sebarang kurikulum yang sistematik.  Kandungan distrukturkan secara modular sebagai satu rangkaian unit kecil kandungan.  Jadi, pelajar tidak perlu mengikuti satu aturan yang tetap.  Mereka dapat membina aturan yang sesuai dengan keperluan dan agenda peribadi.  Bahan pembelajaran yang tidak lengkap digunakan untuk menarik penglibatan aktif pelajar.  Kebebasan dari aturan yang tidak ditetapkan adalah menunjukkan keutamaan sistem hiperteks dan hipermedia.

        Struktur kurikulum bagi perisian PPBK Belajar Microsoft Access yang berasaskan kepada struktur hirarki dapat ditunjukkan seperti Rajah 4 di bawah :-
 
Rajah 4 : Struktur Sawang bagi PPBK
atas
2.1.3 Gabungan Struktur Hirarki dengan Struktur Sawang
Perisian PPBK Belajar Microsoft Access yang akan dibangunkan adalah untuk dicapai oleh semua pelajar.  Gabungan struktur hirarki dan struktur sawang membolehkan pelajar memilih untuk mencapai isi pelajaran secara linear atau tidak linear menggunakan kemudahan hiperteks dan hipermedia.  Pelajar-pelajar  yang kurang mahir tentang logik untuk meneroka boleh menggunakan aturan linear secara topik demi topik yakni struktur hirarki.  Pelajar dengan kecerdasan logikal/matematikal boleh belajar menggunakan aturan bukan linear iaitu mengikut topik yang ingin diketahui terlebih dahulu yakni struktur sawang.

        Gabungan struktur hirarki dengan struktur sawang juga merupakan satu langkah dalam menerapkan kemahiran mencirikan setiap objek pangkalan data serta membanding-bezakannya.  Kemahiran membuat urutan diperolehi apabila pelajar mencapai isi pelajaran secara tidak linear yang juga mengasah kemahiran menghubungkait.  Secara tidak langsung, gabungan struktur ini menerapkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif kepada pelajar.

        Hasil gabungan kedua-dua struktur dalam perisian PPBK menjadikan tidak ada suatu ketetapan dalam mencapai isi pembelajaran.  Jadi pelajar tidak merasa jemu, sebaliknya lebih menyeronokkan kerana dapat melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran melalui aktiviti penerokaan.  Pembelajaran juga berlangsung dalam keadaan mengikut kemajuan kendiri dan terarah kendiri.  Guru hanya bertindak sebagai fasilitator kepada pelajar-pelajar semasa sesi pembelajaran.
 

2.2 Perincian Kandungan Perisian PPBK
Kandungan perisian PPBK Belajar Microsoft Access dibahagikan kepada empat tajuk dan satu bahagian latihan.  Pembahagian tajuk-tajuk ini dibuat berdasarkan kepada pemahaman konsep dan penguasaan kemahiran yang diperlukan untuk menghasilkan satu pangkalan data pelbagai jadual yang berhubungan antara satu sama lain.  Perincian kandungan untuk perisian kursus adalah seperti berikut :
atas
2.2.1 Tajuk 1 : Antaramuka Microsoft Access 2000
i.   Memulakan Microsoft Access dan Mencipta Satu Pangkalan Data Baru
     a.     Tutorial
             Pelajar belajar cara memulakan Microsoft Access dan mencipta satu  pangkalan data baru. 
     b.     Aktiviti
             Pelajar memulakan Microsoft Access 2000 dan mencipta satu pangkalan data baru dengan nama Haiwan.
     c.     Penilaian
             Skrin bandingan dipaparkan dalam perisian serta nama pangkalan data Haiwan yang tertera pada palang tajuk
             tetingkap pangkalan data.
     d.     Maklum balas 
             Dilaksanakan secara kendiri melalui perbandingan skrin yang diperolehi dengan skrin bandingan.
ii.   Objek-objek Pangkalan Data Microsoft Access 2000
     a.     Tutorial
            Pelajar dikenalkan kelas objek pangkalan data Microsoft Access 2000 seperti Tables, Queries, Forms, Reports
           serta peranan setiap objek secara umum.
     b.    Aktiviti
            Pelajar meneroka kedudukan objek dan mendapatkan maklumat bilangan objek bagi setiap kelas objek tersebut 
            serta memberi  respon kepada perisian.
     c.    Penilaian
            Bilangan objek dalam setiap kelas yang dimasukkan dinilai oleh perisian sama ada betul atau salah.
     d.    Maklum balas
            Disediakan oleh perisian dalam bentuk grafik yang memaparkan tetingkap pangkalan data yang menunjukkan 
            objek-objek tersebut.
iii.  Elemen-elemen pada Skrin Microsoft Access 2000
     a.    Tutorial
            Pelajar dikenalkan dengan elemen-elemen penting pada skrin Microsoft Access 2000 serta peranannya.
     b.    Aktiviti
            Pelajar meneroka elemen-elemen pada skrin Microsoft Access 2000 seperti yang dinyatakan dan memberi respon
            senarai elemen yang didapati berbeza berbanding dengan perisian dalam Microsoft Office yang lain.
     c.    Penilaian
            Elemen-elemen yang berbeza yang dimasukkan dinilai oleh perisian sama ada betul atau salah.
     d.    Maklum balas 
            Disediakan oleh perisian dalam bentuk grafik yang memaparkan skrin yang menunjukkan elemen-elemen 
            sebenar yang berbeza.
iv.    Menutup Fail Pangkalan Data dan Keluar dari Microsoft Access
     a.    Tutorial
            Pelajar belajar cara menutup fail pangkalan data dan keluar dari Microsoft Access.
     b.    Aktiviti
            Pelajar menutup fail pangkalan data dan keluar dari Microsoft Access.
     c.    Penilaian
            Skrin tidak kelihatan lagi
     d.    Maklum balas
            Dilaksanakan secara kendiri setelah skrin Microsoft Access tidak kelihatan lagi.
atas
2.2.2 Tajuk 2 : Jadual
i.  Konsep Medan dan Rekod
    a.    Tutorial
           Pelajar belajar tentang fungsi jadual serta konsep medan dan rekod dalam jadual berpandukan contoh jadual 
            tersebut.
     b.    Aktiviti
            Pelajar menentukan bilangan medan dan rekod dalam contoh-contoh jadual yang ditunjukkan dalam bentuk grafik
            serta memberi respon bilangan medan dan rekod yang terdapat pada contoh jadual tersebut
     c.    Penilaian
            Bilangan medan dan rekod yang dimasukkan dinilai oleh perisian sama ada betul atau salah.
     d.    Maklum balas 
            Disediakan oleh perisian dalam bentuk grafik yang memaparkan grafik jadual serta yang menunjukkan 
            cara menentukan bilangan medan dan rekod.
ii.  Membuka Pangkalan Data Access
     a.    Tutorial
           Pelajar belajar cara membuka pangkalan data.
     b.    Aktiviti
            Pelajar memulakan perisian Microsoft Access dan membuka pangkalan data Hidupan yang telah sedia dibina
            bersama pakej perisian.
     c.    Penilaian
            Skrin bandingan yang menunjukkan tetingkap pangkalan data serta nama Hidupan pada palang tajuk tetingkap.
     d.    Maklum balas
            Dilaksanakan secara kendiri melalui perbandingan skrin yang ditunjukkan dengan skrin pada monitor.
 iii.  Mencipta Jadual Haiwan Menggunakan Table Design View
     a.    Tutorial
            Pelajar belajar cara mencipta jadual menggunakan objek Table Design View dan melihat jadual yang telah
            dihasilkan pada Datasheet View.
     b.    Aktiviti
            Pelajar mencipta jadual tiga medan dan menamakannya sebagai Haiwan.  Pelajar melihat jadual yang telah
            dihasilkan dalam Datasheet View untuk disemak.
     c.    Penilaian
            Skrin bandingan yang menunjukkan struktur jadual yang dicipta dalam Datasheet View.
     d.    Maklum balas
            Dilaksanakan secara kendiri melalui perbandingan skrin yang ditunjukkan dengan skrin pada monitor.
iv.  Menentukan Jenis Data dalam Jadual
     a.    Tutorial
            Pelajar dijelaskan dengan jenis-jenis data dan fungsinya dalam pangkalan data Microsoft Access serta
            contoh-contoh yang berkaitan.
     b.    Aktiviti
            Pelajar merujuk jadual Haiwan yang telah dicipta untuk menyemak jenis data yang disenaraikan pada lajur Data
            Type dan mengenalpasti jenis data yang telah digunakan adalah betul.
            Pelajar menambahkan medan ke dalam jadual Haiwan dengan memilih jenis data yang sesuai berdasarkan senarai
            nama medan serta contoh data yang diberikan.  Jadual yang dihasilkan dipaparkan pada Datasheet View.
     c.    Penilaian
            Skrin bandingan yang menunjukkan struktur baru jadual Haiwan yang telah ditambah bilangan medan dalam
            Datasheet View.
     d.    Maklum balas
            Dilaksanakan secara kendiri melalui perbandingan skrin yang ditunjukkan dengan skrin pada monitor.
iv.  Mencipta Medan Kunci Primer
     a.    Tutorial
            Pelajar diberi maklumat ciri dan belajar cara meletakkan kunci primer bagi medan yang tertentu dalam jadual.
     b.    Aktiviti
            Pelajar mencipta medan kunci primer bagi jadual Haiwan yang telah dicipta.
     c.    Penilaian
            Skrin bandingan yang menunjukkan simbol kunci dalam Design View pada baris medan yang dipilih.
     d.    Maklum balas 
            Dilaksanakan secara kendiri melalui perbandingan skrin yang ditunjukkan dengan skrin pada monitor.
v.  Mencipta Jadual Habitat Menggunakan Table Design View
     a.    Latih tubi
            Pelajar dipersembahkan maklumat ciri jadual yang perlu dihasilkan berkaitan habitat haiwan yang
            terdapat di alam ini.
     b.    Aktiviti
            Pelajar mencipta jadual kedua berdasarkan kepada ciri yang dinyatakan dalam soalan yang dipersembahkan.
     c.    Penilaian
            Skrin bandingan yang menunjukkan struktur Datasheet jadual kedua yang dicipta dalam Datasheet View.
     d.    Maklum balas 
            Dilaksanakan secara kendiri melalui perbandingan skrin yang ditunjukkan dengan skrin pada monitor.
atas
2.2.3 Tajuk 3 : Borang
i.  Mencipta borang menggunakan Form Wizard.
    a.    Tutorial
           Pelajar belajar cara mencipta borang menggunakan Form Wizard.
     b.    Aktiviti
            Pelajar mencipta borang berdasarkan kepada jadual Haiwan yang telah disediakan sendiri atau dalam pakej 
            perisian menggunakan Form Wizard.
     c.    Penilaian
            Skrin bandingan yang menunjukkan paparan borang yang telah dicipta.
            Bilangan rekod yang dinyatakan oleh pelajar sebagai sifar.
     d.    Maklum balas 
            Dilaksanakan secara kendiri melalui perbandingan skrin yang ditunjukkan dengan skrin pada monitor.
ii.  Memasukkan rekod ke dalam jadual menggunakan borang
     a.    Tutorial
           Pelajar belajar cara memasukkan rekod ke dalam borang yang telah disediakan.
     b.    Aktiviti
            Pelajar memasukkan rekod melalui borang berdasarkan kepada senarai yang diberikan.
     c.    Penilaian
            Skrin bandingan yang menunjukkan borang dengan rekod terakhir yang dimasukkan.
            Bilangan rekod yang tersimpan seperti yang dinyatakan oleh pelajar.
     d.    Maklum balas
            Dilaksanakan secara kendiri melalui perbandingan skrin yang ditunjukkan dengan skrin pada monitor.
 iii.  Memadamkan rekod dalam jadual menggunakan borang
     a.    Tutorial
           Pelajar belajar cara memadamkan rekod dalam jadual menggunakan borang.
     b.    Aktiviti
            Pelajar memadamkan rekod yang ditetapkan menggunakan borang.
     c.    Penilaian
            Skrin bandingan yang menunjukkan jumlah rekod terkini pada borang.
            Bilangan rekod yang tersimpan seperti yang dinyatakan oleh pelajar.
     d.    Maklum balas
            Dilaksanakan secara kendiri melalui perbandingan skrin yang ditunjukkan dengan skrin pada monitor.
v.  Mencipta borang berdasarkan jadual Habitat dan memasukkan rekod yang berkaitan
     a.    Latih tubi
            Pelajar dipersembahkan maklumat rekod yang perlu dimasukkan ke dalam borang Habitat haiwan yang terdapat di
            alam ini.
     b.    Aktiviti
            Pelajar mencipta borang Habitat dan memasukkan rekod seperti yang dinyatakan.
     c.    Penilaian
            Skrin bandingan yang menunjukkan paparan borang Habitat.
            Bilangan rekod yang dimasukkan sama dengan bilangan rekod dalam borang Haiwan.
     d.    Maklum balas 
            Dilaksanakan secara kendiri melalui perbandingan skrin yang ditunjukkan dengan skrin pada monitor.
atas
2.2.4 Tajuk 4 : Jadual Perhubungan
i.   Jenis-jenis hubungan antara jadual-jadual dalam pangkalan data
     a.    Tutorial
            Pelajar dipersembahkan jenis-jenis hubungan antara jadual-jadual dalam pangkalan data.
     b.    Aktiviti
            Pelajar menentukan jenis hubungan berdasarkan kepada contoh yang diberikan.
     c.    Penilaian
            Input pelajar dinilai oleh perisian sama ada betul atau salah.
     d.    Maklum balas 
            Disediakan oleh perisian sama ada betul atau salah serta maklumat sebenar ditunjukkan.
i.  Mencipta hubungan satu-ke-satu
    a.    Tutorial
           Pelajar belajar cara menetapkan hubungan satu-ke-satu antara dua jadual.
     b.    Aktiviti
            Pelajar menghubungkan jadual pertama dan jadual kedua yang telah disediakan dalam pakej perisian.
     c.    Penilaian
            Skrin bandingan tetingkap Relationships yang menunjukkan hubungan satu-ke-satu telah dibentuk dan skrin
            Datasheet View yang memaparkan data dari kedua-dua jadual.
     d.    Maklum balas 
            Dilaksanakan secara kendiri melalui perbandingan skrin yang ditunjukkan dengan skrin pada monitor.
iii.   Mencipta hubungan satu-ke-banyak
      a.    Tutorial
           Pelajar belajar cara menetapkan hubungan satu-ke-banyak antara tiga jadual.
      b.    Aktiviti
            Pelajar menghubungkan tiga jadual yang  telah disediakan dalam pakej perisian.
      c.    Penilaian
            Skrin bandingan tetingkap Relationships yang menunjukkan hubungan satu-ke-banyak telah dibentuk dan skrin
            Datasheet View yang memaparkan data dari tiga jadual.
      d.    Maklum balas 
            Dilaksanakan secara kendiri melalui perbandingan skrin yang ditunjukkan dengan skrin pada monitor.
iv.  Mencipta hubungan banyak-ke-banyak
     a.    Tutorial
           Pelajar dipersembahkan cara menetapkan hubungan banyak-ke-banyak antara tiga jadual.
     b.    Aktiviti
            Pelajar menghubungkan tiga jadual yang telah dibina.
     c.    Penilaian
            Skrin bandingan tetingkap Relationships yang menunjukkan hubungan banyak-ke-banyak telah dibentuk dan skrin
            Datasheet View yang memaparkan data dari tiga jadual.
     d.    Maklum balas 
            Dilaksanakan secara kendiri melalui perbandingan skrin yang ditunjukkan dengan skrin pada monitor.
v.  Mencipta hubungan yang sesuai berdasarkan kepada rekod dalam tiga jadual dalam satu pangkalan data.
    a.    Latih tubi
           Pelajar dipersembahkan contoh-contoh jadual bagi 3 pangkalan data.
     b.    Aktiviti
            Pelajar menghubungkan jadual-jadual dalam setiap pangkalan data mengikut jenis hubungan yang sesuai.
     c.    Penilaian
            Skrin bandingan tetingkap Relationships yang menunjukkan hubungan yang telah dibentuk.
            Pernyataan jenis hubungan.
     d.    Maklum balas 
            Dilaksanakan secara kendiri melalui perbandingan skrin yang ditunjukkan dengan skrin pada monitor.
            Dilaksanakan oleh perisian berdasarkan kepada pernyataan yang diberikan.  Maklumat sebenar dipaparkan.
atas
2.2.5 Latihan
i.  Soalan Objektif
     a.    Latih tubi
           Pelajar dipersembahkan soalan-soalan berbentuk objektif.
     b.    Aktiviti
            Pelajar memilih jawapan yang betul dengan menggunakan tetikus.
     c.    Penilaian
            Input pelajar dinilai oleh perisian sama ada betul atau salah.
     d.    Maklum balas 
            Disediakan oleh perisian sama ada betul atau salah serta maklumat sebenar ditunjukkan.
ii.  Soalan Subjektif
    a.    Latih tubi
           Pelajar dipersembahkan soalan-soalan berbentuk subjektif .
     b.    Aktiviti
            Pelajar menaip jawapan menggunakan papan kekunci.
     c.    Penilaian
            Input pelajar dinilai oleh perisian sama ada betul atau salah
     d.    Maklum balas 
            Disediakan oleh perisian sama ada betul atau salah serta maklumat sebenar ditunjukkan.
iii.  Soalan Praktikal (Hands-on)
     a.    Latih tubi
            Pelajar dipersembahkan satu situasi pengurusan data dalam koperasi sekolah.  Berdasarkan masalah yang
            nyatakan, pelajar dikehendaki mencipta pangkalan data yang sesuai serta mempunyai jadual yang dihubungkan.
            Spesifikasi data dalam setiap jadual dinyatakan dalam soalan sebagai panduan kepada pelajar.  Pelajar perlu
            menyatakan jenis hubungan jadual-jadual berkenaan setelah selesai aktiviti.
     b.    Aktiviti
            Pelajar mencipta jadual, borang dan menghubungkan jadual berkenaan.
     c.    Penilaian
            Skrin bandingan yang menunjukkan paparan jadual dalam Datasheet View, borang dan tetingkap Relationships.
     d.    Maklum balas 
            Dilaksanakan secara kendiri melalui perbandingan skrin yang ditunjukkan dengan skrin pada monitor.
atas

3.0  LANGKAH-LANGKAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P&P)

3.1 Pengenalan
Set induksi menggunakan animasi helaian kertas yang bermaklumat terkumpul sehingga bertimbun.  Tajuk perisian Belajar Microsoft Access dipaparkan setelah selesai animasi tersebut.  Matlamat perisian dipaparkan dan diikuti dengan nama pembangun perisian.  Butang-butang penerangan, penghargaan, menu utama yang terdiri dari subtajuk jadual, borang, jadual perhubungan dan latihan serta butang keluar diletakkan pada satu palang bahagian kiri skrin dan disusun mengikut aturan penggunaan bagi capaian secara linear iaitu bermula dengan manual pengguna, penghargaan, menu utama iaitu antaramuka, jadual, borang dan jadual perhubungan, latihan, bantuan dan butang keluar diletakkan paling ke bawah.  Semua butang ini adalah aktif.
atas
3.2 Manual Pengguna
Kandungan manual pengguna terbahagi kepada tiga iaitu spesifikasi perkakasan, panduan installasi dan panduan interaksi dengan perisian.  Panduan interaksi memaparkan grafik skrin yang interaktif di mana teks penerangan berkenaan fungsi butang interaksi yang berkaitan dipaparkan apabila pelajar memilih butang menggunakan tetikus.
atas
3.3 Menu Utama
Terdiri dari butang untuk beralih ke sesi pengajaran dan pembelajaran iaitu Antaramuka, Jadual, Borang, Jadual Perhubungan dan Latihan.
atas
3.3.1 Antaramuka
i. Objektif pembelajaran bagi subtajuk ini dipaparkan dalam bentuk teks.  Pengguna boleh meneruskan pembelajaran sama ada dengan memilih kata kunci yang telah diserlahkan pada pernyataan objektif atau memilih butang mula yang disediakan.
ii.  Pembelajaran dimulakan dengan persembahan maklumat berkenaan cara memulakan Microsoft Access dan membuka pangkalan data baru. Pelajar diminta memulakan perisian Microsoft Access dan mencipta satu pangkalan data yang bernama Hidupan berdasarkan kepada cara yang ditunjukkan.
iii.  Persembahan maklumat seterusnya adalah berkenaan dengan objek-objek pangkalan data dalam Microsoft Access 2000 seperti Tables, Queries, Forms, Reports, Pages, Macro dan Module.  Peranan setiap objek diterangkan secara ringkas beserta dengan grafik paparan skrin yang menunjukkan kedudukan kelas objek berkenaan.  Pelajar diminta meneroka tetingkap pangkalan data Micrososft Access dengan menumpukan kepada butang-butang objek serta mendapatkan bilangan objek yang tersedia bagi setiap kelas untuk respon kepada perisian.
iv.  Kemudian persembahan maklumat menumpukan pula kepada elemen utama pada skrin Microsoft Access 2000.  Tumpuan lebih diberikan kepda elemen yang akan digunakan dalam membangunkan sebuah pangkalan data serta didapati berbeza dengan elemen yang terdapat pada aplikasi Microsoft Office yang lain seperti tetingkap pangkalan data dan palang alatan pangkalan data.  Pelajar di minta meneroka dan mengenalpasti kedudukan elemen  yang dirasakan baru ditemui.  Aktiviti penerokaan ini boleh dilaksanakan secara berpasangan.
v.  Perisian mempersembahkan maklumat berkenaan cara menutup fail pangkalan data dan keluar dari perisian Microsoft Access.  Pelajar menutup fail pangkalan data Haiwan yang telah dibina dan keluar dari perisian Microsoft Access.
  atas
3.3.2 Jadual
i.  Objektif pembelajaran bagi subtajuk ini dipaparkan dalam bentuk teks.  Pengguna boleh meneruskan pembelajaran sama ada dengan memilih kata kunci yang telah diserlahkan pada pernyataan objektif atau memilih butang mula yang disediakan.
ii.  Pembelajaran dimulakan dengan persembahan maklumat berkenaan peranan jadual dalam pangkalan data serta konsep medan dan rekod dengan bantuan teks dan grafik yang menunjukkan satu jadual berkaitan dengan senarai maklumat pelajar. Grafik ini disertakan dengan animasi bagi menunjukkan kedudukan dan bilangan medan dan rekod dalam jadual.  Pelajar diminta juga menentukan bilangan medan dan rekod bagi tiga contoh jadual yang lain.
iii.  Persembahan maklumat seterusnya adalah berkenaan cara membuka pangkalan data yang telah disediakan.  Pelajar kemudiannya diminta membuka pangkalan data bertajuk Hidupan yang telah disediakan. 
iv.  Kemudian persembahan maklumat berkenaan cara mencipta jadual menggunakan Table Design View dan melihat jadual dalam Datasheet View.  Maklumat dipersembahkan dalam bentuk animasi langkah-langkah yang perlu dilaksanakan dalam mencipta jadual menggunakan Table Design View.  Teks digunakan untuk menjelaskan cara beralih antara lajur-lajur pada medan yang berkaitan dalam Design Grid.  Grafik paparan skrin Design View ditunjukkan mengandungi tiga medan.  Pelajar melaksanakan aktiviti tersebut berpandukan kepada grafik paparan skrin yang memberi maklumat nama medan, jenis data, saiz medan dan keterangan untuk mencipta satu jadual dan menamakannya sebagai Haiwan.  Pelajar boleh mengulangi animasi tersebut jika perlu.
v.  Persembahan maklumat seterusnya adalah berkenaan dengan jenis data yang terdapat pada lajur Data Type dalam Design View.  Contoh-contoh data mengikut jenis data ini dipaparkan sebagai panduan kepada pelajar.  Sebagai menguji kefahaman, pelajar diminta menambahkan dua medan lagi ke dalam jadual Haiwan dengan memilih jenis data serta saiz medan yang sesuai berdasarkan senarai nama medan tersebut serta contoh data yang diberikan.
vi.  Maklumat berkaitan dengan kunci primer dipersembahkan.  Pelajar dijelaskan dari segi ciri dan fungsi medan kunci primer.  Berdasarkan kepada cara untuk meletakkan kunci primer dalam medan, pelajar melakukan aktiviti tersebut pada jadual Haiwan yang telah dihasilkan.
vii.  Sebagai penutup bagi subtajuk jadual, pelajar dikehendaki menghasilkan satu jadual yang mempunyai ciri-ciri seperti yang dinyatakan dalam pernyataan.  Jadual ini adalah berkaitan dengan jadual Haiwan yang telah dihasilkan 
atas
3.3.3 Borang
i.  Objektif pembelajaran bagi subtajuk ini dipaparkan dalam bentuk teks.  Pengguna boleh meneruskan pembelajaran sama ada dengan memilih kata kunci yang telah diserlahkan pada pernyataan objektif atau memilih butang mula yang disediakan.
ii.  Pembelajaran dimulakan dengan persembahan maklumat berkenaan peranan borang dalam pangkalan data serta cara menyediakan borang menggunakan Form Wizard dalam bentuk animasi langkah-langkah yang perlu dilaksanakan dengan bantuan teks dan grafik. Berdasarkan kepada persembahan, pelajar mencipta satu borang yang dinamakan Haiwan berdasarkan jadual Haiwan yang telah disediakan oleh pelajar atau telah tersedia bersama pakej perisian.
iii.  Persembahan maklumat seterusnya adalah berkenaan dengan cara memasukkan rekod yang berkaitan ke dalam borang yang telah disediakan.  Maklumat dipersembahkan dalam bentuk animasi langkah-langkah yang perlu dilaksanakan dalam memasukkan rekod ke dalam borang serta penggunaan butang navigasi pada borang.  Teks digunakan untuk menjelaskan cara beralih antara medan-medan dalam borang.  Senarai contoh rekod disediakan bagi memudahkan pelajar melaksanakan aktiviti untuk memasukkan rekod ke dalam borang yang telah disediakan.  Pelajar dikehendaki menyatakan bilangan rekod yang terdapat dalam jadual terkini.
iv.  Kemudian persembahan maklumat berkaitan dengan cara memadamkan rekod dalam jadual menggunakan borang yang disediakan.  Maklumat juga dipersembahkan dalam bentuk animasi langkah-langkah yang perlu dilaksanakan apabila memadamkan rekod menggunakan borang.  Sebagai refleksi, pelajar dikehendaki menyatakan bilangan rekod yang terdapat dalam jadual terkini.
vii.  Sebagai penutup bagi subtajuk borang, pelajar dikehendaki menghasilkan satu borang berdasarkan jadual Habitat dan kemudian memasukkan rekod yang berkaitan dengannya.
atas
3.3.4 Jadual Perhubungan
i.  Objektif pembelajaran bagi subtajuk ini dipaparkan dalam bentuk teks.  Pengguna boleh meneruskan pembelajaran sama ada dengan memilih kata kunci yang telah diserlahkan pada pernyataan objektif atau memilih butang mula yang disediakan.
ii.  Pembelajaran dimulakan dengan persembahan maklumat berkenaan peranan perhubungan (relationships) antara jadual-jadual dalam pangkalan data serta jenis-jenis hubungan yang boleh dicipta antara jadual-jadual.  Jenis-jenis hubungan ini ditunjukkan melalui grafik lakaran.  Berdasarkan kepada persembahan, pelajar menentukan jenis hubungan bagi contoh-contoh yang diberikan.  Pelajar boleh memilih untuk mempelajari mana-mana jenis perhubungan dengan memilih nama hubungan yang dinyatakan dalam persembahan.
iii.  Pembelajaran berkenaan dengan jadual hubungan satu-ke-satu melibatkan persembahan maklumat cara menetapkan hubungan satu ke satu antara dua jadual.  Langkah-langkah yang perlu dilaksanakan diperjelaskan dengan bantuan teks, grafik dan animasi setiap skrin yang terhasil.  Sebagai hasil akhirnya, jadual baru yang memaparkan data-data dari kedua-dua jadual ditunjukkan dalam bentuk Datasheet View sebagai bukti hubungan yang telah diwujudkan.
iv.  Pembelajaran berkenaan dengan jadual hubungan satu-ke-banyak juga melibatkan persembahan maklumat cara menetapkan hubungan satu ke banyak antara tiga jadual.  Langkah-langkah yang perlu dilaksanakan diperjelaskan dengan bantuan teks, grafik dan animasi setiap skrin yang terhasil.  Sebagai hasil akhirnya, jadual baru yang memaparkan data-data dari ketiga-tiga jadual ditunjukkan dalam bentuk Datasheet View sebagai bukti hubungan yang telah diwujudkan.
v.  Persembahan maklumat bagi pembelajaran berkenaan dengan jadual hubungan banyak-ke-banyak melibatkan cara menetapkan hubungan banyak ke banyak antara empat jadual.  Langkah-langkah yang perlu dilaksanakan diperjelaskan dengan bantuan teks, grafik dan animasi setiap skrin yang terhasil.  Sebagai hasil akhirnya, jadual baru yang memaparkan data-data dari kedua-dua jadual ditunjukkan dalam bentuk Datasheet View sebagai bukti hubungan yang telah diwujudkan.
vi.  Sebagai penutup bagi subtajuk jadual perhubungan, satu senario pengurusan data di koperasi sekolah dipersembahkan.  Pelajar dikehendaki mencipta tiga jadual, borang dan hubungan yang sesuai antara jadual-jadual berdasarkan spesifikasi bagaimana rekod-rekod disimpan.  Proses ini perlu melibatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam mengendalikan pangkalan data bermula dari awal lagi.
atas
3.3.5  Latihan
i.  Penerangan tentang latihan yang disediakan dari segi jenis soalan, bilangan dan pemarkahan dinyatakan.  Pelajar boleh membuat pemilihan soalan latihan yang ingin dijawab iaitu :
a.    Soalan objektif (10 soalan)
b.    Soalan subjektif (10 soalan)
b.    Soalan praktikal (1 soalan)
Pencapaian pelajar dalam setiap bahagian latihan akan dipaparkan setelah tamat menjawab semua soalan dalam bahagian tersebut.
atas
 

RUJUKAN

Alessi, S. M. & Trollip, S.R. 1991. Computer-based instruction: Methods and development.
        Boston: Allyn and Bacon.

Boyle, T. 1997. Design for multimedia learning. London: Prentice-Hall International.

Carrol, J. M. 1990. The Nurnberg funnel : designing Minimalist Instruction for practical computer skill. MIT Press.

Gagne R.M. &  Briggs L. J. 1979. Principles of instructional design. Holt Rinehart and Winston.

Newby, T.J., Stepich, D.A., Lehman, J.D. & Russell, J.D. 2000. Instructional technology for teaching
        and learning. London: Prentice-Hall International.

Rozinah Jamaludin. 2000. Asas-asas multimedia dalam pendidikan. Kuala Lumpur: Utusan
        Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Sellapan, P. 1999. Access 2000 through examples. Shah Alam : Federal Publications Sdn. Berhad.

Tolliver, P. R., Johnson, Y. & Koneman, P. A. 2000. Projects For Mirosoft Office 2000. Reading : Addison Wesley Logman, Inc.

Yusup Hashim. 1998. Rekabentuk pengajaran bersistem dalam pembinaan pengajaran berbantu
        komputer (PBK). Jurnal Pendidikan. 18: 1-14.

Zoraini Wati Abas. 1993. Komputer dalam pendidikan. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
 

|Muka Depan|  |Biodata|  |Senarai Kursus> GE6663> Tugasan 6
|Tugasan 1|  |Tugasan 2|  |Tugasan 3|  |Tugasan 4|  |Tugasan 5|  |Tugasan 6|  |Tugasan 7|