GE6543
Teknologi Maklumat
dalam Pendidikan
|
Tugasan 1 : Laporan
Dasar Negara, Polisi dan Akta Berkaitan Teknologi Maklumat
|
FALSAFAH, AKTA DAN
POLISI TEKNOLOGI MAKLUMAT DI MALAYSIA PADA MASA KINI SERTA IMPLIKASINYA
TERHADAP SISTEM PENDIDIKAN NEGARA
RUJUKAN
1.0
PENGENALAN
Alvin
Tofler (1989), dalam bukunya yang bertajuk The Third Wave berpendapat
bahawa manusia kini berada dalam gelombang ketiga iaitu gelombang maklumat
atau era maklumat. Dalam era maklumat, jalinan di antara seorang
manusia dengan manusia lain diperkukuhkan dan alat utama yang digunakan
ialah teknologi maklumat. Penekanan kepada teknologi maklumat di
Malaysia jelas terpancar dalam Wawasan 2020. Salah satu daripada
cabaran Wawasan 2020 ialah membentuk sebuah masyarakat sains serta progresif,
berdaya cipta dan berpandangan jauh ke hari muka, yakni sebuah masyarakat
yang bukan sahaja memanfaatkan teknologi terkini tetapi turut menjadi penyumbang
terhadap pembentukan peradaban sains dan teknologi pada masa hadapan.
Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC) merupakan
salah satu daripada perkembangan mutakhir teknologi maklumat di Malaysia.
Ia telah menjadi satu agenda Malaysia untuk mencapai hasrat wawasan 2020
dan juga bersaing dalam ekonomi global. Ekoran dari itu, undang-undang
siber telah digubal dan dilaksanakan sebagai jaminan untuk syarikat MSC.
Revolusi yang berterusan
dalam teknologi maklumat telah mengubah komposisi guna tenaga dan pasaran
buruh. Dari semasa ke semasa, permintaan untuk pekerja teknologi
maklumat semakin meningkat. Oleh itu, pendidikan perlu memainkan
peranan aktif dalam memenuhi permintaan yang semakin mendesak ini tanpa
melupakan tunjangnya yang utama iaitu Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
FPK mementingkan pendekatan bersepadu antara intelek, jasmani, rohani dan
emosi supaya keluaran pendidikan adalah berkualiti.
Dasar-dasar yang diperkenalkan dan akta-akta yang digubal berkaitan dengan
teknologi maklumat turut memberi implikasi terhadap sistem pendidikan.
Peranan guru beransur-ansur berubah daripada penyampai kepada pembimbing.
Dalam penulisan ini, akan dibincangkan tentang dasar dan akta berkaitan
teknologi maklumat di Malaysia pada masa kini serta bagaimana perkembangan
ini mempengaruhi sistem pendidikan negara.
atas
2.0
KONSEP TEKNOLOGI MAKLUMAT
Secara umumnya, teknologi
maklumat ialah suatu alat utama dalam era maklumat. Alat ini digunakan
untuk mencapai, menyimpan dan menyebar maklumat terutama maklumat berbentuk
digital. Teknologi maklumat merujuk kepada penggunaan pelbagai item
dan keupayaan dalam penciptaan, penyimpanan dan penyebaran maklumat. British
Advisory Council for Applied Research and Development (1980) menakrifkan
teknologi maklumat sebagai suatu disiplin saintifik, teknologi dan kejuruteraan
serta teknik pengurusan yang digunakan dalam pengendalian dan pemprosesan
maklumat serta penggunaannya; komputer dan saling tindakan antara mesin
dan manusia; dan hal yang berkaitan dengan sosial, ekonomi dan kebudayaan.
Behan
dan Holmes (1990) pula mentakrifkan teknologi maklumat adalah suatu
istilah yang memerihalkan teknologi yang membolehkan kita untuk merekod,
meyimpan, memproses, mendapat semula, menghantar dan menerima maklumat.
Menurut Martin dan rakan-rakan (1994) pula,
teknologi maklumat terdiri dari semua bentuk teknologi yang terlibat dalam
pengumpulan, manipulasi, komunikasi, persembahan dan menggunakan data termasuk
data yang ditransformasikan kepada maklumat.
Senn (1998) menyatakan bahawa teknologi maklumat mengandungi
tiga komponen iaitu komputer, komunikasi dan tahu guna. Gabungan
ketiga-tiga komponen ini mencipta peluang kepada manusia dan organisasi
untuk lebih produktif, berkesan dan berjaya secara umumnya. Ketiga-tiga
komponen ini tidak boleh terpisah. Komputer dan rangkaian komputer
tidak berguna jika tidak tahu digunakan. Mengetahui bila hendak menggunakan
komputer adalah sama penting dengan mengetahui bagaimana hendak menggunakannya
dan sama penting juga ialah kebolehan berkomunikasi maklumat melalui komputer
dan untuk menghubungkan manusia melalui teknologi maklumat. Jadi,
walaupun istilah teknologi maklumat telah diperluaskan kepada teknologi
maklumat dan komunikasi atau Information and Communication Technology
(ICT), takrifan Senn ini jelas telah merangkumkan komunikasi dalam teknologi
maklumat. Oleh itu, istilah teknologi maklumat (TM) adalah sudah
memadai dan istilah teknologi maklumat dan komunikasi tidak perlu digunakan.
atas
3.0
KORIDOR RAYA MULTIMEDIA
MSC, singkatan daripada
Multimedia
Super Corridor atau Koridor Raya Multimedia merupakan satu projek
penting Kerajaan Malaysia yang bertujuan memesatkan pertumbuhan industri
teknologi maklumat, telekomunikasi dan multimedia negara. MSC adalah
suatu kawasan seluas 15x50km yang merangkumi tiga projek raksasa iaitu
dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di utara, Putrajaya dan Kuala
Lumpur International Airport (KLIA) di selatan. Dua buah bandar
pintar dibina dalam kawasan MSC iaitu Siberjaya dan Putrajaya. Siberjaya
menempatkan industri multimedia dan Putrajaya menepatkan pusat pentadbiran
kerajaan Persekutuan. Sebuah perbadanan telah ditubuhkan iaitu Perbadanan
Pembangunan Multimedia (Multimedia Development Corporation - MDC)
untuk mengawasi pembangunan MSC.
Tujuh aplikasi utama (flagship) telah dikenalpasti di MSC yang boleh
dibahagikan kepada dua kategori iaitu pembangunan multimedia dan persekitaran
multimedia. Tujuh aplikasi tersebut ialah :
i. |
Sekolah
Bestari |
ii. |
Kad Pintar |
iii. |
Kerajaan Elektronik |
iv. |
Teleperubatan |
v. |
Gugusan Penyelidikan dan
Pembangunan |
vi. |
Jaringan pembuatan sedunia |
vii. |
Pusat pemasaran tanpa sempadan |
Empat aplikasi yang pertama
di bawah kategori pembangunan multimedia dan tiga aplikasi yang terakhir
di bawah kategori persekitaran multimedia. Untuk menarik syarikat
beroperasi di MSC, kerajaan telah menyediakan Bil Jaminan (Bill of Guarantees).
Bil Jaminan ini menyediakan prasaran fizikal dan maklumat bertaraf dunia
kepada syarikat yang mendapat status MSC, iaitu :
i. |
Menyediakan
infrastruktur fizikal dan maklumat bertaraf dunia. |
ii. |
Membenarkan tanpa sekatan
pekerja tempatan dan luar. |
iii. |
Memastikan kebebasan pemilikan
dengan mengecualikan syarikat berstatus MSC daripada keperluan pemilikan
tempatan. |
iv. |
Memberikan syarikat MSC
kebebasan untuk menyediakan modal daripada pinjaman tempatan dan dunia
untuk infrastruktur MSC. |
v. |
Menyediakan insentif kewangan
yang menarik. |
vi. |
Menjadi ketua serantau dan
perlindungan Hakmilik Intelektual dan undang-undang siber. |
vii. |
Memastikan tiada tapisan
(censorship) Internet. |
viii. |
Menyediakan tarik telekomunikasi
yang bersaing sejagat. |
ix. |
Memberi tender kontrak prasarana
MSC utama kepada syarikat yang ingin menjadikan MSC sebagai hub serantau. |
x. |
Menyediakan agensi berkuasa
untuk bertindak sebagai pusat sehentian (one-stop supershop) untuk
memastikan MSC memenuhi keperluan syarikat. |
MDC juga bertindak sebagai pusat sehentian untuk memenuhi jaminan kesepuluh
ciri di atas terutama untuk mempercepatkan permohonan visa, lesen dan permit.
Prasarana komunikasi yang disediakan dalam MSC berkelajuan 2.5Gbps hingga
10Gbps. Selain itu, satu panel perundingan antarabangsa (International
Advisory Panel - IAP) MSC juga telah ditubuhkan.
Syarikat juga boleh memohon status MSC dengan tiga syarat iaitu :
i. |
merupakan pembangun
atau menggunakan secara menyeluruh (extensive) produk dan perkhidmatan
multimedia. |
ii. |
mengambil ramai pekerja
pengetahuan. |
iii. |
menyatakan bagaimana akan
memindahkan teknologi atau menyumbang kepada pembangunan MSC dan ekonomi
Malaysia. |
Koridor Raya Multimedia telah
berjaya mencapai kemajuan di luar dugaan. Sehingga kini, pencapaian sebenar
telah melebihi matlamat asal dengan 730 syarikat berdaftar di mana sebanyak
53 bertaraf dunia (Mahathir Mohamad, 2002). Matlamat
asal ialah pada tahun 2003, jumlah syarikat yang mendapat sijil MSC sebagai
syarikat multimedia akan berjumlah 500 dengan 30 daripadanya bertaraf dunia.
Beberapa syarikat gergasi telah berpindah dari Eropah dan Amerika untuk
mengadakan pusat operasi mereka bagi seluruh dunia atau bagi Asia Timur
di Cyberjaya.
Status
MSC juga telah diperluas kepada institusi pendidikan yang menawarkan kursus
berkaitan keperluan tenaga manusia MSC walaupun beroperasi di luar MSC.
Sehingga pada pertengahan Ogos 2002, sebanyak 24 institusi pengajian tinggi
awam (IPTA) dan swasta (IPTS) diiktiraf berstatus MSC (Najat
Ahmad Marzuki, 2002). Sebahagian besarnya merupakan IPTS iaitu
20 buah manakala IPTA hanya empat buah iaitu Universiti Utara Malaysia
(UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Bagaimanapun, MSC hanyalah syarat perlu untuk mencapai hasrat wawasan 2020,
syarat cukup ialah Agenda Teknologi Maklumat Negara (National
Information Technology Agenda, NITA). NITA, MSC dan sasarannya
serta program lain menyatakan bagaimana perlu mencapai wawasan 2020 tersebut.
NITA ialah suatu kerangka untuk pembangunan program teknologi maklumat
di semua peringkat kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan.
atas
4.0
UNDANG-UNDANG SIBER
MSC tidak hanya suatu perkara
yang semata-mata berkaitan dengan bangunan dan syarikat. Antara jaminan
yang diberikan untuk syarikat MSC adalah penggubalan dan pelaksanaan undang-undang
siber. Undang-undang ini bermatlamat melancarkan lagi penggunaan
multimedia termasuk perlindungan harta intelek, kesahan tandatangan digital
dan transaksi komputer, membanteras jenayah komputer, undang-undang pemusatan
antara telekomunikasi, penyiaran dan komputer serta saluran yang lain-lainnya.
Bagi mencapai tujuan ini, Malaysia telahpun meminda undang-undang hakcipta,
Akta Hakcipta 1987 menerusi Akta Hakcipta (Pindaan) 1997 dan juga menggubal
Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Teleperubatan 1997, Akta Tandatangan Digital
1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia 1998.
atas
4.1
Akta Hakcipta (Pindaan) 1997
Menerusi Akta Hakcipta (Pindaan)
1997, Malaysia telah mengubah undang-undang mengikut cadangan Persetiaan
Pertubuhan Harta Intelek Dunia (World Intellectual Property Organisation
Treaty - WIPO Treaty) dan cuba untuk mengambil perhatian terhadap masalah
khusus yang dicipta oleh perkembangan terkini seperti perkembangan internet
di luar jangkaan. Bagi tujuan menangkis permasalahan ini, Akta Hakcipta
(Pindaan) 1997, mengakui tiga bentuk baru perlanggaran hakcipta di bawah
Seksyen 41 Akta Hakcipta 1987. Kesalahan tersebut adalah:
i. |
merosakkan
atau menyebabkan kerosakan sebarang tindakan kesan teknologi yang digunakan
oleh pencipta berkaitan dengan mempergunakan haknya dan perlanggaran akta
tidak dibenarkan, |
ii. |
memindahkan atau menggantikan
sebarang hak elektronik maklumat pengurusan tanpa kebenaran; dan |
iii. |
menyebarkan, bermaksud untuk
menyebarkan atau menyampaikan kepada orang awam, tanpa kebenaran, bekerja
atau menyalin kerja dari sudut yang mana hak elektronik pengurusan maklumat
telah dipindahkan atau digantikan tanpa kebenaran. |
Kesalahan-kesalahan ini adalah diberi hukuman denda maksimum RM250,000.00
atau hukuman penjara bagi suatu tempoh maksimum tiga tahun atau kedua-duanya
sekali dan sebarang kesalahan berikutnya, hukuman denda maksimum RM500,000
atau hukuman penjara bagi suatu tempoh maksimum lima tahun atau kedua-duanya
sekali. Adalah nyata bahawa kesalahan baru ini dipandang secara serius
oleh undang-undang.
atas
4.2
Akta Jenayah Komputer 1997
Bagi mengukuhkan strategi
larangan penyalahgunaan komputer, yang mana diperlukan bagi meneruskan
kerja-kerja melibatkan MSC, Akta Jenayah Komputer 1997 telah digubal. Capaian
tanpa kebenaran kepada harta, kerosakan harta, perbuatan mencuri, penyebaran
bahan-bahan lucah dan tidak baik merupakan jenayah yang biasa berlaku.
Di bawah cara penggunaan yang baru, semua jenayah ini bukan hanya wujud,
tetapi menjadi perlakuan yang tidak sepatutnya dengan impak yang lebih
besar menerusi penggunaan komputer dan internet.
Capaian tanpa kebenaran kepada bahan komputer menjadi kelaziman dan dengan
peningkatan kepercayaan ke atas komputer, ia menjadi semakin serius.
Pada tahun 1995, United States General Account Office mendapati
penggodam mengunakan internet untuk memecah masuk komputer United Sates
Defence Department lebih dari 160,000 kali. Laporan menyebut
bahawa:
"At minimum, these attacks
are a multimillion dollar nuisance to Defence. Atworst, they are
serious threat to national security." |
Selain dari menggodam,
jenayah komputer yang dibawa oleh internet adalah jenayah kad kredit, menyebarkan
virus komputer, diguna oleh pedofil (paedophiles) dalam menghantar
gambar dan "movie", dirahsiakan dari risikan pihak berkuasa, menyebarkan
khabar angin dan lain-lain.
Malaysia tidak terkecuali dengan jenayah-jenayah ini, tetapi kekerapan
jenayah ini tidak tinggi. Bagi mengekang ancaman ini pada peringkat
awal, Malaysia telah menggubal Akta Jenayah Komputer 1997. Akta ini
digunakan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira kewarganegaraan seseorang.
Kesalahan di bawah akta ini boleh berlaku di mana-mana sahaja tidak kira
samada di dalam atau di luar Malaysia asalkan ia melibatkan komputer yang
berada di Malaysia.
Ringkasan kesalahan dan denda terhadap kesalahan di bawah Akta Jenayah
Komputer 1997 seperti berikut:
Ringkasan
Jenis Kesalahan |
Ringkasan
Diskripsi Kesalahan |
Denda |
Capaian
tanpa kuasa kepada bahan komputer |
Membuat
capaian mana-mana komputer tanpa diberi kuasa. |
Didenda
tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi
lima tahun atau kedua-duanya |
Capaian
tanpa kuasa dengan niat untuk melakukan atau memudahkan berlakunya kesalahan
lanjut |
Melibatkan
fraud atau kecurangan atau yang menyebabkan kecederaan |
Didenda
tidak melebihi RM 150,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi
sepuluh tahun atau kedua-duanya |
Pengubahsuaian
tanpa kuasa kandungan mana-mana komputer |
Pengubahsuaian
tanpa kuasa kandungan mana-mana komputer |
Didenda
tidak melebihi RM 100,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi tujuh tahun
atau kedua-duanya; atau boleh didenda tidak melebihi RM 150,00.00 atau
dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya,
jika perbuatan itu dilakukan dengan niat menyebabkan kecederaan |
Komunikasi
salah |
Berkomunikasi
melalui mana-mana cara capaian kepada suatu komputer tanpa diberi kuasa |
Didenda
tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi
tiga tahun atau kedua-duanya |
Pensubahatan
dan Percubaan |
Bersubahat
dalam pelakuan atau cuba untuk melakukan mana-mana kesalahan
Perlakuan apa-apa perbuatan
persediaan kepada atau bagi mencapai perlakuan mana-mana kesalahan
|
Dipenjara
untuk tempoh tidak melebihi satu perdua tempoh maksimum yang diperuntukkan
bagi kesalahan itu |
Anggapan |
Menyimpan
maklumat tanpa kuasa dalam komputer di bawah kawalan disifatkan telah memperoleh
capaian tanpa kuasa |
(Sama
seperti denda memperoleh capaian komputer tanpa kuasa) |
atas
4.3
Akta Teleperubatan 1997
Teleperubatan telah diamalkan
semasa berlangsungnya Kejohanan Sukan Komanwel 1998. Dalam konteks
Kejohanan Sukan Komanwel 1998, Pusat Penerangan dan Komunikasi Hospital
Kuala Lumpur sebagai pusat bagi perkhidmatan perubatan dan teleperubatan
bagi sukan tersebut, telah dihubungkan kepada pusat perubatan di Amerika
Syarikat dan Britain. Rangkaian teleperubatan yang menghubungkan Hospital
Kuala Lumpur (HKL) dengan pusat perubatan antarabangsa yang terbaik akan
memberikan nasihat pakar ke atas diagnosis dan rawatan atlit-atlit dan
pelawat-pelawat. Ia juga membolehkan doktor di HKL dan Pusat Kesihatan
Perkampungan di tempat kejohanan menghantar fail-fail pesakit atau dokumen
yang berkaitan seperti X-ray dan imbasan ECG secara elektronik, dan membenarkan
interaksi bersemuka antara doktor dan pesakit. Rangkaian teleperubatan
yang diuruskan di Pusat Perubatan Pantai juga dihubungkan kepada Hospital
Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Kini elemen teleperubatan ini dapat dilihat di Hospital Elektronik Selayang.
Dalam bidang teleperubatan, khidmat doktor pakar yang berada di luar negara
digunakan untuk membuat diagnosis terhadap pesakit yang berada di Malaysia.
Hospital akan menggunakan teknologi maklumat yang canggih untuk berhubung
antara hospital dirantau ini serta di seluruh dunia. Dengan itu, kepakaran
doktor di seluruh dunia dapat dikongsi oleh doktor tempatan.
Bagi membantu pembangunan TM dalam sektor kesihatan, Akta Teleperubatan
telah digubal pada tahun 1997, antara lain menyediakan peruntukan
bagi peraturan dan kawalan ke atas amalan teleperubatan seperti kerahsiaan
maklumat pesakit dan keperluan pengamal perubatan mendapatkan kebenaran
daripada pesakit sebelum teleperubatan diamalkan. Seksyen 2 dalam
akta ini mendefinasikan "teleperubatan" sebagai "amalan perubatan dengan
menggunakan komunikasi audio, visual dan data."
Seksyen 3 Akta Teleperubatan
1997 menyatakan bahawa :
3.
(1) |
Tiada
seorang pun, selain -
(a)
pengamal perubatan penuh yang memegang suatu perakuan amalan yang sah;
atau
(b)
pengamal perubatan yang didaftarkan atau dilesenkan di luar Malaysia dan
-
(i) |
memegang
perakuan untuk mengamalkan teleperubatan yang dikeluarkan oleh Majlis;
dan |
(ii) |
mengamalkan
teleperubatan dari luar Malaysia melalui seorang pengamal perubatan berdaftar
penuh yang memegang perakuan amalan yang sah, |
boleh mengamalkan teleperubatan. |
Seksyen 3 selanjutnya memperuntukan
bahawa sesiapa yang mengamalkan teleperubatan dengan melanggar seksyen
ini, walaupun dia mengamalkan teleperubatan dari luar Malaysia, adalah
melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi
RM 500,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun
atau kedua-duanya.
atas
4.4
Akta Tandatangan Digital 1997
Akta Tandatangan Digital
1997 bermatlamat membolehkan rakyat Malaysia mengambil perdagangan elektronik
sebagai satu kaedah menjalankan perniagaan. Akta ini tidak menggantikan
undang-undang perdagangan dan keusahawanan yang sedia ada tetapi hanya
melengkapkannya. Semuanya adalah untuk menyamakan tandatangan digital
ini dengan tandatangan yang dibentuk secara manual. Pernyataan ini
menjadi lebih jelas jika kita melihat pada seksyen 62 Akta Tandatangan
Digital 1997. Seksyen 62 adalah seperti berikut :
62.
(1) |
Jika
rukun undang-undang menghendaki tandatangan atau memperuntukkan
akibat tertentu dalam ketiadaan tandatangan, rukun itu hendaklah dipuaskan
oleh suatu tandatangan digital jika -
(a) |
tandatangan
digital itu disahbetulkan dengan merujuk kepada kunci awam
yang disenaraikan dalam perakuan sah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa
pemerakuan berlesen; |
(b) |
tandatangan
digital itu telah ditambah oleh penandatangan dengan
niat untuk menandatangani mesej itu; dan |
(c) |
penerima
tidak mempunyai pengetahuan atau notis bahawa penandatangan itu -
(i) |
telah melanggar
kewajipan sebagai pelanggan; atau |
(ii) |
tidak
memegang kunci persendirian yang digunakan untuk menambah tandatangan
digital itu secara sah. |
|
|
(2) |
Walau apa pun mana-mana
undang-undang bertulis yang berlawanan -
(a) |
suatu
dokumen yang ditandatangani dengan tandatangan digital mengikut Akta ini
hendaklah mengikat di sisi undang-undang seperti suatu dokumen yang ditandatangani
dengan suatu tandatangan tulisan tangan, suatu cap ibu jari yang ditambah
atau apa-apa tanda lain; dan |
(b) |
suatu
tandatangan digital yang dihasilkan mengikut Akta ini hendaklah disifatkan
sebagai suatu tandatangan yang mengikat di sisi undang-undang. |
|
Kefahaman tentang bagaimana akta ini dipakai akan lebih jelas dengan melihat
definasi yang diberikan dalam seksyen 2 di mana "tandatangan digital"
ertinya "penjelmaan sesuatu mesej dengan menggunakan suatu sistem kripto
tak simetri dengan sedemikian yang seseorang yang mempunyai mesej awal
itu dan kunci awam penandatangan boleh menentukan dengan tepat –
(a) |
sama ada penjelmaan
itu telah dihasilkan dengan menggunakan kunci persendirian yang berpadanan
dengan kunci awam penandatangan itu; dan |
(b) |
sama
ada mesej itu telah diubah sejak penjelmaan itu dibuat; |
Beberapa kesalahan yang dibentuk
di bawah Akta Tandatangan Digital 1997 adalah seperti berikut:
|
Kesalahan |
Hukuman |
1. |
Beroperasi
sebagai satu pihak berkuasa pemerakuan tanpa lesen yang sah |
Denda
tidak melebihi RM 500,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi
10 tahun atau kedua-duanya. Dalam kes kesalahan berterusan, denda
harian tidak melebihi RM 500,0.00 bagi setiap hari kesalahan itu terus
dilakukan. (Seksyen 4) |
2. |
Pihak
berkuasa pemerakuan tidak mengembalikan lesen kepada Pengawal setelah dibatalkan
atau tamat tempoh |
Denda
tidak melebihi RM 500,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi
10 tahun atau kedua-duanya. Dalam kes kesalahan berterusan, denda
harian tidak melebihi RM 500,0.00 bagi setiap hari kesalahan itu terus
dilakuka dan dan mahkamah hendaklah memegangsimpan lesen itu dan mengemukakannya
kepada Pengawal (Seksyen 14) |
3. |
Membuka
rahsia maklumat yang diperolehi di bawah akta ini (Tanggungjawab Kerahsiaan) |
Denda
tidak melebihi RM 100,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi
2 tahun atau kedua-duanya. (Seksyen 72) |
4. |
Menandatangani
atau memberikan apa-apa perisytiharan, penyata, perakuan atau dokumen atau
maklumat lain yang dikehendaki di bawah Akta ini yang tidak benar, tidak
tepat atau mengelirukan. |
Denda
tidak melebihi RM 500,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi
10 tahun atau kedua-duanya. (Seksyen 73) |
5. |
Melakukan
suatu kesalahan di bawah Akta ini yang baginya tiada penalti diperuntukkan
secara nyata |
Denda
tidak melebihi RM 200,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi
4 tahun atau kedua-duanya. (Seksyen 83) |
atas
4.4
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Akta ini merupakan undang-undang
siber yang terpanjang antara keenam-enam undang-undang siber yang digubal
dalam negara setakat ini. Ia mempunyai 282 seksyen dan satu jadual.
Secara tradisional, penyiaran, telekomunikasi dan pengkomputeran telah
difikirkan secara terpisah. Jika teknologi digital sekarang ditemukan
bersama, ia akan menjadi tidak realistik untuk mengekalkan suatu pemisahan.
Jadi, undang-undang ini telah digubal bagi menggantikan dua undang-undang
sedia ada berkaitan telekomunikasi dan penyiaran, iaitu Akta Telekomunikasi
1950 dan Akta Penyiaran 1988. Dengan tergazetnya akta ini, Kementerian
Tenaga, Komunikasi dan Multimedia telah ditubuhkan.
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membentuk satu rangkakerja bagi campurtangan
secara teratur untuk menggalakkan dasar kebangsaan terhadap industri komunikasi
dan multimedia. Aktiviti-aktiviti dan perkhidmatan-perkhidmatan yang
dikawal di bawah akta ini termasuklah penyiaran tradisional, telekomunikasi
dan perkhidmatan atas talian, termasuk kemudahan dan rangkaian yang digunakan
dalam memberikan perkhidmatan tersebut, serta kandungan yang dibekalkan
menerusi kemudahan-kemudahan dan rangkaian tersebut. Bagaimanapun,
tiada peruntukan di dalam Akta ini yang membenarkan penapisan Internet.
Peserta utama dalam industri
yang akan dikawal di bawah akta ini adalah seperti berikut:
i. |
pemberi kemudahan
rangkaian, |
ii. |
pemberi perkhidmatan rangkaian, |
iii. |
pemberi perkhidmatan aplikasi, |
iv. |
pemberi perkhidmatan aplikasi
kandungan. |
Bahagian VII Akta (seksyen
187 hingga seksyen 204) memperuntukan Perlindungan Pengguna. Jadi,
dakwaan yang secara umumnya dilabelkan bercanggah dengan Akta Tandatangan
Digital 1997 iaitu ia tidak mengambil perhatian terhadap kecenderungan
pengguna, tidak dapat disandarkan akta ini.
Bahagian IX Akta (seksyen
205 hingga seksyen 213) memperuntukkan Pengawalseliaan Sosial. Seksyen
211 bahagian ini menegaskan bahawa pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan,
atau orang lain yang menggunakan perkhidmatan aplikasi
kandungan, boleh memberikan kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam
atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau
mengganggu mana-mana orang. Perlanggaran seksyen ini akan didenda
tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi
satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya satu ribu
ringgit bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu
diteruskan selepas pensabitan.
Dalam usaha mengekang penyebar
khabar angin, satu peruntukan yang dapat digunakan secara jitu untuk menangkap
penjual khabar angin yang menyebarkan khabar angin palsu menerusi internet
didapati dalam seksyen 233 Akta Telekomunikasi dan Muktimedia 1998.
Seksyen 233 adalah seperti berikut :
233.
(1) |
Seseorang
yang -
(a)
dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian
atau
perkhidmatan aplikasi secara sedar -
(i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan
(ii) memulakan penghantaran,
apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang,
palsu,
mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai,
mengugut atau
mengganggu orang lain; atau
(b)
memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi,
sama ada
secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi
mungkin atau
tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan
niat untuk
menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang
di mana-mana
nombor atau alamat elektronik,
adalah melakukan suatu
kesalahan.
|
(2) |
Seseorang yang secara
sedar -
(a)
dengan menggunakan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi
memberikan
apa-apa komunikasi lucah bagi maksud komersial kepada mana-mana orang;
atau
(b)
membenarkan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi di
bawah kawalan orang
itu untuk digunakan bagi suatu aktiviti yang diperihalkan dalam perenggan
(a),
adalah melakukan suatu
kesalahan. |
(3) |
Seseorang yang melakukan
suatu kesalahan di bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh didenda tidak
melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu
tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM
1,000.00 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. |
atas
4.5
Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998
Undang-undang ini melengkapkan
kedudukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sebagai satu badan korporat.
Ia merupakan badan utama, suatu kenyataan yang boleh didapati di mana-mana
dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Di bawah seksyen 16 Akta
ini, Suruhanjaya harus mempunyai segala fungsi yang dipertanggungjawab
ke atasnya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan tanpa menjejaskan
keluasan yang disebut terdahulu, Suruhanjaya hendaklah juga mempunyai fungsi-fungsi
yang berikut:
a) |
menasihati
Menteri tentang perkara-perkara berkenaan dengan objektif dasar kebangsaan
bagi aktiviti-aktiviti komunikasi dan multimedia; |
b) |
melaksanakan dan menguatkan
peruntukan-peruntukan undang-undang komunikasi dan multimedia; |
c) |
mengawal selia segala perkara
yang berhubungan dengan aktiviti-aktiviti komunikasi dan multimedia yang
tidak diperuntukan dalam undang-undang komunikasi dan multimedia; |
d) |
menimbangkan dan mengesyorkan
reformasi-reformasi kepada undang-undang komunikasi dan multimedia; |
e) |
mengawasi dan memantau aktiviti-aktiviti
komunikasi dan multimedia; |
f) |
menggalakkan dan meningkatkan
pembangunan industri komunikasi dan multimedia termasuk dalam bidang penyelidikan
dan latihan; |
g) |
menggalakkan dan meningkatkan
pengawalan sendiri dalam industri komunikasi dan multimedia; |
h) |
memupuk dan mengekalkan
kewibawaan semua orang yang dilesenkan atau selainnya di beri kuasa di
bawah undang-undang komunikasi dan multimedia; |
i) |
memberikan bantuan dalam
apa-apa bentuk kepada dan untuk menggalakkan kerjasama dan penyelarasan
di kalangan, orang yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti komunikasi
dan multimedia; dan |
j) |
menjalankan apa-apa fungsi
di bawah mana-mana undang-undang bertulis sebagaimana yang ditetapkan oleh
Menteri melalui pemberitahuan yang disiarkan dalam Warta. |
atas
5.0
DASAR-DASAR BERKAITAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
Teknologi maklumat didapati
telah digunakan dengan meluas sepanjang tempoh RMKe-7 di mana bilangan
komputer peribadi bagi setiap 1000 penduduk telah meningkat daripada 29.5
pada tahun 1995 kepada 95.7 pada tahun 2000. Begitu juga dengan penggunaan
internet, di mana bilangan pelanggan Internet meningkat daripada 13,000
pada tahun 1995 kepada 1.2 juta pada tahun 2000 dengan kadar pertumbuhan
145.2% setahun.
Teknologi maklumat mempunyai peranan yang strategik dalam mempercepatkan
proses pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan kecekapan dan produktiviti
semua sektor dalam ekonomi (Kerajaan Malaysia, 2001).
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8) sebanyak RM5.2 bilion
diperuntukan bagi program dan projek berasaskan teknologi maklumat.
Dalam tempoh ini, tumpuan akan diberi untuk terus memperkukuhkan keupayaan
sumber manusia, infrastruktur berkaitan perkakasan dan perisian serta mewujudkan
kumpulan kritikal perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pengguna internet
bagi membolehkan Malaysia bergerak dengan pantas menjadi negara maju yang
mempunyai masyarakat yang berpengetahuan. Bagi tujuan ini, teras
strategik untuk pembangunan teknologi maklumat dalam RMKe-8 meliputi :
i. |
menjadikan
Malaysia sebagai hub ICT dan multmedia di peringkat global;
ICT akan digunakan sebagai
penggerak penting dalam mendorong syarikat Malaysia bersaing di peringkat
global dengan melaksanakan kerangka dasar baru bagi sektor ICT dan multimedia
yang berasaskan kepada perubahan pesat. Bagi memudahkan memasuki pasaran
di samping mewujudkan persekitaran yang berdaya saing langkah-langkah yang
diambil termasuklah melaksanakan dasar pelesenan yang jelas, ringkas dan
praktikal serta meminimumkan keperluan pelesenan untuk perkhidmatan baru;
membina pusat penyelidikan dan meneraju forum antarabangsa. |
ii. |
menaik
taraf dan menambahkan infrastruktur komunikasi untk meningkatkan kebolehcapaian
di seluruh negara;
Jurang digital antara golongan
kaya dan miskin, kawasan bandar dan luar bandar serta antara sektor ekonomi
akan ditangani menerusi peningkatan keupayaan penghantaran, perluasan infrastruktur
dan latihan ICT. |
iii. |
meningkatkan
pembangunan sumber manusia dalam bidang ICT bagi menambah bekalan tenaga
manusia yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan;
Usaha akan dijalankan untuk
memperbaiki dan memperluaskan pendidikan ICT melalui pembekalan perkakasan
dan perisian komputer serta capaian internet ke sekolah-sekolah; memperkenalkan
lebih banyak kursus ICT di IPTA dan IPTS serta latihan semula untuk pekerja.
Kod etika berkaitan dengan penggunan internet akan diperkenalkan di peringkat
sekolah sebagai usaha menangani pengaruh negatif internet. |
iv. |
menggalakkan
e-dagang dan meningkatkan penggunaannya bagi membolehkan Malaysia bersaing
dengan lebih berkesan dalam pasaran global;
Mewujudkan kestabilan dan
persekitaran yang sesuai dengan memberi perhatian terhadap penguatkuasaan
yang berkesan bagi pelbagai undang-undang dan mekanisme yang telah diwujudkan
serta membina kepercayaan dan keyakinan dalam e-dagang dengan memperkenalkan
undang-undang berkaitan berkaitan kawalan peribadi bagi menjamin kerahsiaan.
Dalam meningkatkan pembangunan e-dagang, infrastruktur dan sokongan akan
turut disediakan di samping kajian kemungkinan yang lebih terperinci. |
v. |
memupuk
keupayaan tempatan dalam mencipta pembangunan kandungan;
Bagi meningkatkan penyertaan
dalam pasaran, persekitaran undang-undang yang kondusif untuk pembangunan
kandungan diwujudkan di samping penyediaan bantuan kewangan. Pembangunan
kemahiran akan diberi penekanan melalui peningkatan keupayaan mengeluarkan
graduan yang berkelayakan serta memperkenalkan program khas yang melibatkan
sektor swasta bagi meningkatkan latihan dalam pembangunan perisian. |
vi. |
meluaskan
pelaksanaan aplikasi perdana MSC bagi meningkatkan lagi momentum pembangunan
MSC;
Merupakan strategi mengatasi
masalah jurang digital. Aplikasi sekolah bestari akan diperluaskan
ke sekolah menengah dan rendah, telekesihatan akan dilaksanakan di pusat
penjagaan dan klinik desa. Tumpuan akan diberi terhadap usaha menarik
minat pencipta teknologi terkini menyertai pembangunan MSC dan menggalakkan
pemindahan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan (P&P). |
vii. |
memupuk
pembentukan kumpulan kritikal PKS yang berasaskan ICT; dan
Inisiatif yang dilaksanakan
termasuklah menjadikan syarikat Malaysia yang berjaya sebagai model kepada
syarikat PKS, membantu syarikat PKS dalam pemasaran dan menembusi pasaran
antarabangsa serta menaikkan taraf pusat inkubator MSC untuk membantu usahawan
teknologi. Syarikat PKS digalak menggunakan aplikasi e-dagang. |
viii. |
menggalakkan
kegiatan penyelidikan dan pembangunan ke atas faktor bukan perkakasan bagi
kemajuan ICT dan Era Maklumat yang akan memberi manfaat kepada individu,
pertubuhan dan masyarakat.
Usaha memantau dan menilai
kesan ICT kepada sektor awam, swasta dan rumahtangga; langganan dan profil
penggunaan internet; perubahan budaya kerja; pengukuran pembangunan pengetahuan
serta pembentukan masyarakat bermaklumat dan berpengetahuan; dan penjajaran
semula kod klasifikasi industri, produk dan pekerjaan supaya selaras dengan
pengertian sektor maklumat. |
atas
6.0
IMPLIKASI DASAR DAN AKTA BERKAITAN TEKNOLOGI MAKLUMAT TERHADAP SISTEM PENDIDIKAN
NEGARA
Sistem pendidikan di Malaysia
adalah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). FPK yang
telah disuratkan pada tahun 1987 adalah berbunyi seperti berikut :
Pendidikan di Malaysia
adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan
dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
|
Berdasarkan kepada pernyataan
FPK ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi penekanan khusus iaitu
:
i. |
Pendidikan
sebagai suatu usaha yang berterusan
Potensi yang ada pada diri
individu hendaklah dikembangkan ke peringkat optimum dengan cara mengintegrasikan
bakat dan kebolehannya yang saling berkaitan antara satu sama lain kerana
manusia dianugerahkan Tuhan dengan bakat, keupayaan dan potensi sejak
lahir lagi. Pendidikanlah yang memainkan peranan penting dalam memperkembangkan
potensi individu. Semua potensi yang ada perlu dikembangkan dengan berpaksikan
ketuhanan bagi menjamin pembentukan sahsiah yang bersepadu. Jadi, semua
potensi ini hendaklah disalurkan ke arah penyuburan dan pemantapan
akidah melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang terancang. |
ii. |
Insan yang seimbang dan
harmonis
Merupakan insan yang memiliki
dan menghayati ilmu pengetahuan, berakhlak mulia, mempunyai kepercayaan
dan keyakinan yang teguh kepada Tuhan, mempunyai fikiran dan jiwa yang
tenteram, tubuh badan yang sihat dan cergas. Insan yang seimbang
dan harmonis ini sentiasa bersyukur, bersedia menerima segala ujian dan
cabaran hidup serta sentiasa berikhtiar untuk mengatasi masalah dengan
fikiran yang tenang. |
iii. |
Unsur intelek
Unsur ini memberi tumpuan
kepada daya berfikir kritis dan kreatif serta mampu menghurai, menaakul,
merumus dan menghasilkan idea-idea yang bernas. |
iv. |
Unsur rohani dan emosi
Unsur-unsur ini berkait
dengan sifat kejiwaan, hati dan kebatinan iaitu unsur keyakinan kepada
Tuhan, beragama, kemantapan jiwa, penghayatan nilai-nilai murni dan norma
masyarakat, berbudi pekerti mulia dan berkorban untuk negara dan bangsa. |
v. |
Unsur jasmani
Unsur jasmani memberi tumpuan
kepada perkembangan tubuh badan yang sihat dan mempunyai ciri-ciri seperti
kecergasan fizikal dan kesihatan diri untuk berdikari dan hidup bermasyarakat.
Selain itu, tubuh badan sihat akan memberi semangat terhadap unsur-unsur
lain untuk bekerjasama dalam proses melahirkan insan untuk kesejahteraan
hidup di dunia dan di akhirat. |
Secara keseluruhannya, FPK menekankan kepada rupa bentuk INSAN yang akan
dihasilkan daripada sistem pendidikan negara. Sudah tentu rupa bentuk
INSAN yang baik serta mulia yang diharapkan dari sistem pendidikan yang
ada pada hari ini. Hasrat yang terkandung dalam FPK ini dapat direalisasikan
menerusi pelaksanaan kurikulum yang membolehkan pelajar dapat menghubungkan
ilmu pengetahuan yang dipelajari dengan kesedaran bahawa sumber ilmu secara
mutlak adalah milik Allah semata-mata. Manusia diamanahkan oleh Allah
untuk memakmurkan alam ciptaanNya untuk kesejahteraan makhlukNya.
Untuk menunaikan amanah yang diberikan kepada manusia, maka manusia harus
berusaha menyedarkan di kalangan manusia sendiri tentang tanggungjawab
menguruskan alam ini (Tajul Ariffin Noordin et. al., 1992).
Ini dilaksanakan melalui penerapan nilai-nilai murni merentasi kurikulum.
Dari sudut pekerjaan pula, usaha berterusan secara bersepadu penggunaan
latihan, pembangunan organisasi dan kerjaya untuk meningkatkan kecekapan
individu, kumpulan dan organisasi itu sendiri dipanggil pembangunan sumber
manusia. Tenaga kerja terlatih yang berpotensi serta berkebolehan
mengoptimumkan penggunaan dan pembangunan bahan dan teknologi baru
akan teras menjadi penting
dalam memastikan pertumbuhan dan ketahanan ekonomi dalam tempoh RMKe-8.
Dalam tempoh ini, tenaga kerja terlatih yang berpotensi serta berkebolehan
mengoptimumkan penggunaan dan pembangunan bahan dan teknologi baru akan
terus menjadi penting dalam memastikan pertumbuhan dan ketahanan ekonomi
negara. Permintaan untuk pekerja ICT juga semakin meningkat bagi
membolehkan penggunaan teknologi yang sedia ada dan membangunkan teknologi
pada masa depan. Permintaan untuk pekerja teknologi maklumat yang
terdiri dari jurutera perkakasan, jurutera perisian, juru analisis sistem,
pengatur program komputer dan kakitangan sokongan teknikal telah meningkat
daripada 88,160 pada tahun 1998 kepada 108,200 pada tahun 2000 (Rancangan
Malaysia Kelapan 2001-2005, 2001). Jumlah ini dijangkakan akan
terus meningkat kepada 181, 600,pada tahun 2005.
Usaha-usaha untuk memenuhi permintaan pekerja ICT didapati dimulakan dari
peringkat sekolah lagi di mana kadar celik komputer di kalangan pelajar
ditingkatkan dengan memperluaskan pendidikan ICT ke peringkat sekolah.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membekalkan sekolah-sekolah
rendah dan menengah dengan kemudahan komputer serta menyediakan bahan pengajaran
dan pembelajaran bantuan komputer termasuk capaian internet melalui projek
pengkomputeran sekolah. Sehingga kini, projek pengkomputeran sekolah
telah memasuki Fasa Ketiga dan dijangkakan menjelang penghujung RMKe-8,
semua sekolah akan mempunyai makmal komputer. Begitu juga dengan kemajuan
Aplikasi Perdana Sekolah Bestari akan menghasilkan perisian pengajaran
dan pembelajaran, dan perisian sistem pengurusan sekolah bestari.
Penggunaan komputer dalam pendidikan sudah tentu akan melibatkan pengintegrasian
teknologi seperti CD-ROM, pangkalan data, multimedia dan internet.
Perubahan pendidikan melalaui revolusi teknologi maklumat sudah tentu memberi
cabaran kepada kreadibiliti kaum guru. Guru tidak lagi menjadi satu
faktor yang penting sebagai penyampai atau pemberi ilmu pengetahuan.
Peranan guru akan berubah daripada pengajar dan pendidik kepada pemudahcara,
tutor, perancang dan penilai pembelajaran murid. Perkembangan ICT yang
pesat juga turut menyaksikan guru bukan hanya akan didapati di sekolah,
malah pelajar akan mempunyai lebih ramai "guru" menerusi pembelajaran menggunakan
internet. Di sini letaknya menjadi peranan guru dan institusi sekolah
dalam mengadakan kawalan dalaman dan kawalan luaran. Kawalan secara
dalaman kepada pelajar boleh dilaksanakan melalui penghayatan nilai moral,
etika, budaya dan agama dalam organisasi dan masyarakat, pengukuhan falsafah
dan prinsip kehidupan dengan menanamkan niat untuk membawa kebaikan kepada
alam sejagat dan juga kekuatan rohani dalam menempuh sebarang cubaan.
Kawalan secara luaran pula dilaksanakan dalam bentuk penguatkuasaan etika
dan peraturan yang berkaitan dengan penggunaan komputer. Bagaimanapun,
kawalan luaran hanya dapat dilaksanakan semasa pelajar berada di sekolah
sahaja manakala kawalan dalaman berlaku secara berterusan tanpa mengira
masa dan tempat. Ini jelas menunjukkan bahawa dalam setiap perkara,
kawalan dalaman perlu diutamakan dan penghayatan kepada FPK merupakan suatu
kemestian sama ada kepada guru ataupun pelajar.
Perubahan peranan guru memerlukan guru-guru dilatih dan didedahkan dengan
kemahiran baru supaya mereka tahu mengendalikan dan menggunakan teknologi
maklumat dengan berkesan di sekolah. Dalam tempoh RMK-8, Bahagian
Pendidikan Guru (BPG) menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah
diberi tanggunghawab untuk memberi penekanan khusus terhadap penggunaan
ICT dan kaedah pengajaran kreatif dengan mengkaji semula kurikulum latihan
guru, mempergiatkan penggunaan komputer bagi mendapatkan bahan pembelajaran,
menyediakan kursus jangka pendek dalam latihan guru oleh Pusat Sumber Pendidikan
Negeri (PSPN). Bagaimanapun, guru sendiri hendaklah bersikap proaktif
supaya mempunyai kemahiran yang diperlukan dengan belajar sendiri.
Bukan setakat guru, malah pentadbir sekolah serta personel KPM juga perlu
celik komputer. Ini adalah kerana penggunaan komputer tidak terbatas
untuk pengajaran dan pembelajaran sahaja, malah pengurusan yang dibantu
dengan komputer akan menjadi lebih efisien.
Penguatkuasaan akta-akta berkaitan dengan teknologi maklumat juga
memberi implikasi terhadap sistem pendidikan negara. Memandangkan
kos untuk mendapatkan perisian asli adalah terlalu tinggi dan pihak sekolah
tidak berkemampuan untuk membelinya, kegiatan cetak rompak berleluasa di
sekolah-sekolah. Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Hakcipta (Pindaan)
1997, diharapakan dapat menghadkan dan membanteras masalah yang paling
besar dalam industri ICT di Malaysia iaitu cetak rompak perisian.
Dengan ini kerajaan berharap dapat meningkatkan kandungan tempatan dan
aplikasi berasas komputer di Malaysia. Bagaimanapun, adakah dengan
penguatkuasaan akta semata-mata merupakan langkah membendung kegiatan cetak
rompak yang baik? Perkembangan ICT yang terlalu pesat telah menyaksikan
pelbagai perisian baru silih berganti di pasaran. Di samping penguatkuasaan
undang-undang, apakah alternatif lain yang disediakan oleh KPM supaya guru
berpeluang menggunakan perisian ini secara halal demi pendidikan anak didiknya?
Menjelang penghujung RMKe-8, semua sekolah dijangka akan mempunyai makmal
komputer. Ini bermakna, proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan
dengan integrasi komputer. Begitu juga dengan mempunyai jangkauan
internet dan mengakses lab web tertentu, khususnya pendidikan membolehkan
guru mempunyai pelbagai sumber untuk digunakan dalam pengajaran di bilik
darjah. Sumber maklumat pelajar tidak lagi terbatas di sekolah atau
perpustakaan sahaja. Pelajar boleh mendapatkan apa sahaja maklumat
sama ada berbentuk pendidikan atau hiburan semata dengan begitu mudah sekali.
Kewujudan laman-laman lucah dalam internet yang semakin berleluasa pada
masa kini merupakan suatu gejala yang sukar dibanteras. Di samping
kebaikan yang didapati melalui integrasi komputer dalam pendidikan, keburukan
juga tetap datang. Kemungkinan untuk pelajar-pelajar ini menerima
pengaruh negatif internet adalah tinggi. Oleh itu, guru sewajarnya
mendedahkan etika dan undang-undang menggunakan komputer kepada para pelajarnya.
Akta Jenayah Komputer 1997 yang telah wujud ini boleh membantu guru dalam
mengadakan etika penggunaan komputer pada peringkat sekolah bagi membendung
pengaruh negatif internet kepada pelajar. Tugas ini agak sukar dilaksanakan
memandangkan capaian internet pada masa kini tidak terbatas di sekolah
sahaja. Pada masa kini, kafe siber beroperasi di merata tempat tanpa
sebarang kawalan undang-undang yang ketat.
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula didapati menjamin keselamatan
komunikasi antara pengguna. Ini kerana menurut akta ini memintas
komunikasi elektronik adalah menjadi satu kesalahan. Justeru itu
penggunaan internet dalam bidang pentadbiran atau perkhidmatan pendidikan
akan lebih diyakini. Contohnya penggunaan internet untuk memudahkan
komunikasi dalam Jabatan dan Bahagian dalam Kementerian Pendidikan, seterusnya
di Negeri, Daerah dan Sekolah. Dengan adanya Akta Hakcipta (Pindaan) 1997
rekod rangkaian peperiksaan berpusat, inventori sekolah, kemudahan pendidikan,
maklumat peribadi akan dilindungi keselamatannya.
Akta Tandatangan Digital 1997 pula akan memudahkan pengurusan dalam bidang
pendidikan. Pihak kementerian dapat menyebarkan maklumat pendidikan
yang terkini kepada sekolah atau masyarakat setempat serta dapat berurusan
secara digital dengan pihak Kementerian Pendidikan luar negara seperti
negara ASEAN dengan lebih efektif dan tidak memerlukan kos yang tinggi
dan masa yang lama.
atas
7.0
PENUTUP
Secara keseluruhannya, kemajuan
teknologi maklumat di Malaysia telah mengalami perkembangan yang begitu
pesat. Bagaimanapun, terdapat beberapa isu berkaitan dengan dengan
pengunaan teknologi maklumat ini iaitu masalah etika penggunaan teknologi
maklumat, isu hak cipta dan masalah keselamatan data. Menguatkuasakan
undang-undang semata-mata bukan penyelesaiannya. Apa yang lebih penting
ialah kesedaran setiap individu terhadap tanggungjawab menguruskan alam
ini dengan penuh bijaksana dan berhemah. Bidang pendidikan didapati
terlibat secara langsung dalam menanamkan kesedaran ini di samping sokongan
daripada pihak-pihak berwajib yang lain.
atas
RUJUKAN
Behan
and Holmes. 1990. Computers for an information age. Ed. Ke-6. New
York: The Benjamin / Cummings Publishing Co.
British
Advisory Council for Applied Research and Developement. 1980. Report
on information technology.
London: H.M. Stationery Office.
Dewan
Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2002. Undang-undang Malaysia Akta 563 : Akta
Jenayah Komputer 1997 (atas talian).
http://dbp.gov.my/buletin/Ssiber2.htm
(6 Ogos 2002).
________________________________
2002. Undang-undang Malaysia Akta 562 : Akta Tandatangan Digital 1997 (atas
talian).
http://dbp.gov.my/buletin/Ssiber1.htm
(6 Ogos 2002).
________________________________
2002. Undang-undang Malaysia Akta 564 : Akta Teleperubatan 1997 (atas talian).
http://dbp.gov.my/buletin/Ssiber3.htm
(6 Ogos 2002).
Kementerian
Pendidikan Malaysia. 2001. Pembangunan Pendidikan 2001-2010.
Kuala Lumpur: Percetakan Negara.
Kementerian
Tenaga, Komunikasi dan Multimedia Malaysia. (tanpa tarikh). http://www.ktkm.gov.my/
(6 Ogos 2002).
Kerajaan
Malaysia. 2001. Rancangan Malaysia Kelapan 2001-2005. Kuala Lumpur:
Percetakan Negara.
Mahathir
Mohamad. 2002. Teks ucapan Belanjawan 2003 (atas talian).
http://www.emedia.com.my/Current_News/BH/Friday/Ucapan/20020920175805/Article/
(21 September 2002).
Malaysian
Communications and Multimedia Commission. (tanpa tarikh). Akta Komunikasi
dan Multimedia Malaysia 1998
Akta 588 (atas talian). http://corona.cmc.gov.my/legis_cma1999.htm
(6 Ogos 2002).
______________________________________________
(tanpa tarikh). Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
1998 Akta 589 (atas talian). http://corona.cmc.gov.my/legis_mcmc1998.htm
(6 Ogos 2002).
Martin,
E. W. 1994. Managing information technology: What managers need to know.
New York: Prentice Hall.
Multimedia
Development Corporation. (tanpa tarikh). The future is the MSC (atas talian).
http://www.mdc.com.my/
(15 Ogos 2002)
Najat
Ahmad Marzuki.2002. 24 IPT diiktiraf berstatus MSC. Berita Harian,
24 Ogos.
National
Information Technology Council. 2001. About National IT Agenda - NITA (atas
talian).
http://www.nitc.org.my/nita/index.shtml
(13 Ogos 2002).
Senn,
J.A. 1998. Information technology in bussiness: Principles, practices
and opportunities. Ed. Ke-2.
New Jersey: Prentice Hall.
Tajul
Ariffin Noordin & Nor'Aini Dan. 1992. Pendidikan dan Wawasan
2020. Kuala Lumpur: Arena Ilmu.
Tofler
A. 1990. The third wave. Bantam Press.
Unit
Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia. 2002. MSC Flagship
Applications (atas talian).
http://www.mampu.gov.my/EG/EG_MSCFlags.htm
(15 Ogos 2002).
atas |